KUALA LUMPUR: Keputusan Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR mungkin didorong rasa fed up dengan kewujudan kelompok atau kabilah dalam parti berkenaan.
Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang, menyifatkan kewujudan kelompok dan perbezaan pandangan sebagai perkara biasa dalam mana-mana parti politik, namun setiap anggota perlu berdepan situasi berkenaan selagi masih mampu menerimanya.
“Ketegangan mungkin tidak berlaku, tetapi dalam politik, keadaan seperti itu adalah perkara biasa, termasuk kewujudan kelompok atau 'kabilah' dalam sesebuah parti.
"Cuma mungkin, seperti kata Izzah, mungkin sudah fed up. Siapa yang kekal dalam parti itu kena hadapi kerana saya tak nampak isu kabilah-kabilah ini boleh selesai di mana-mana parti," katanya menerusi podcast The Tiger Show, di sini pada Sabtu.
Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan, perbezaan pandangan dalam kalangan anggota adalah perkara biasa dalam politik, namun setiap individu mempunyai tahap penerimaan berbeza dan berhak membuat keputusan sekiranya tidak lagi mampu menerima keadaan berkenaan.
"Selagi saya boleh terima. Kalau sampai masa saya rasa saya tak boleh dah, saya pun akan buat perkara yang sama," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya menghormati keputusan Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Nurul Izzah menyatakan hasrat berundur sebagai pemimpin nombor dua parti, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuaratnya memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Keputusan itu adalah bagi membolehkan beliau untuk menguruskan diri, selain menyiapkan dan meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).