Peminat bola sepak tempatan tidak perlu mendapatkan visa untuk ke Rusia bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di negara itu bermula pertengahan bulan ini.

Duta Rusia di Malaysia, Valery Yermolov berkata mereka hanya perlu membeli tiket perlawanan dalam talian yang membolehkan mereka mendapatkan identiti peminat atau FAN-ID yang berfungsi sebagai visa untuk masuk ke negara itu.

Beliau berkata peraturan itu turut diguna pakai untuk warga asing dan juga ekspatriat yang tinggal dan bekerja di Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan ke negara itu bagi menyaksikan kejohanan paling berprestij itu.

"Penonton dikehendaki memiliki FAN-ID, dokumen identifikasi sebagai peminat bola sepak dan ia boleh didapati secara percuma dalam talian ketika menempah tiket perlawanan," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.



Dokumen FAN-ID, yang bertindak sebagai visa, sah digunakan 10 hari sebelum Piala Dunia 2018 bermula dan 10 hari selepas perlawanan akhir.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung di 11 bandar raya di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai ini.

BACA: Rusia bukan musuh dunia, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia

-- BERNAMA