Susulan tindakan penggantungan 24 bulan terhadap pemain sepak takraw yang gagal menghadiri kem latihan skuad negara.

Jurulatih kebangsaan, Jamaluddin Hassan menyifatkan penggantungan satu tindakan tepat yang perlu dilaksanakan Persatuan Sepak Takraw Malaysia, PSM.

Bagi Jamaluddin, cara tersebut bertepatan dengan situasi kekurangan pemain yang dihadapi persatuan itu kini.

Beliau tidak melihat tindakan yang bakal dilaksanakan itu sebagai sesuatu yang tidak relevan.

Malah Jamaluddin menegaskan keutamaannya kini adalah memastikan peningkatan prestasi semasa skuad negara, terutamanya menjelang sukan SEA di Myanmar tahun depan.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan tegas bakal dikenakan kepada pemain yang gagal mematuhi arahan badan itu tanpa sebarang sebab munasabah.

Pemain yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan sekurang-kurangnya 24 bulan tempoh penggantungan.

Jamaluddin berkata demikian selepas Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Petaling Jaya kali ke-20.

Kejohanan itu dimenangi pasukan tuan rumah, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ selepas mengalahkan pilihan, PKNS dalam aksi straight set 15-5, 15-6.

Kejayaan itu membolehkan MBPJ membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak tiga ribu ringgit dan trofi kejuaraan.

Cadangan itu turut mendapat reaksi positif daripada dua pemain kebangsaan, Farhan Adam dan Norshahruddin Md Ghani.

Farhan berpendapat hukuman itu sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Namun Farhan meminta agar PSM mengkaji terlebih dahulu punca atau faktor kepada penolakan seseorang pemain untuk menyertai skuad kebangsaan.

Ini kerana bagi mengelakkan tindakan itu dikenakan kepada individu yang tidak bersalah.

Sementara Norshahruddin juga menyatakan persetujuannya mengenai cadangan hukuman itu.

Jelas Norshahruddin lagi, sebagai pemain kebangsaan dia tidak melihat beraksi bersama skuad kebangsaan sebagai satu bebanan.

Malah ia merupakan usaha yang baik dalam menaikkan kembali nama Malaysia di arena sepak takraw rantau asia.