TERENGGANU FC membidas kenyataan terbuka yang dikeluarkan Nafuzi Zain susulan isu tawaran kontrak baru ketua jurulatih berkenaan.

Dalam sidang media selepas pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia dengan Kuala Lumpur City pada Sabtu, Nafuzi berkata dia terkilan dengan pengurusan Terengganu FC yang dilihat tidak profesional dalam menawarkan kontrak baru buatnya.

Katanya, surat tawaran lanjutan kontrak itu bertarikh 27 Oktober, namun dia hanya menerimanya dua hari kemudian, iaitu pada 29 Oktober oleh 'kitman' pasukan itu di padang latihan.

Bagi menjawab dakwaan itu, Terengganu FC, menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh, mengeluarkan satu kenyataan media malam tadi.

"Untuk menjawab isu berkenaan pihak pengurusan TFCSB (Terengganu Football Club Sdn Bhd) berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan perkara yang berlegar di setiap ruang media pada ketika ini yang melibatkan pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain (pegawai), adalah kerana pihak pengurusan memilih untuk mengutamakan fokus pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang pada ketika ini masih berlangsung demi untuk mencapai sasaran pasukan sepertimana yang telah ditetapkan di awal musim.

"Ini kerana kita melihatkan motivasi dan reputasi pasukan pada ketika ini berada di tahap terbaik dan ia perlu diteruskan dan dijaga agar fokus para pemain khususnya tidak terganggu.

"Namun begitu, apa yang telah dilakukan oleh pengendali pasukan ini sendiri amatlah mengejutkan pihak pengurusan apabila secara terang-terangan telah membuat kenyataan media yang membidas pihak pengurusan dan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan perhubungan diantara dua pihak.

"Pihak pengurusan pada awalnya bertindak untuk hanya berdiam diri atas dasar tidak ingin fokus pasukan terganggu, namun dilihat perkara ini terus berlarutan apabila pengendali Terengganu FC ini terus-menerus membuat kenyataan media yang sekali gus merosakkan imej kelab ini dan ini memaksa pihak TFCSB terpaksa memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit demi untuk menjaga maruah kelab dan pengurusan ini.

"Berdasarkan isu lambat menawarkan kontrak profesional kepada ketua jurulatih tersebut, merujuk kepada Perkara 9: Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1: Kelab hendaklah dalam masa 30 Hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak. Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022.

"9.3 Pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari. Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9. Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai. Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media.

"Namun demikian, pihak pengurusan berasa terkilan apabila dituduh tidak profesional dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada pegawai sedangkan pihak pengurusan telah mendapati pegawai tersebut telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal bersama salah sebuah pasukan Liga Super pada bulan Ogos 2022, iaitu sebelum kenyataan pertama beliau semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC, berkaitan dengan menyatakan tahun ini kemungkinan besar tahun terakhirnya bersama pasukan ini.

"Keadaan ini telah melanggar terma dan syarat kontrak kelab di mana pegawai tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab.

"Tindakan kurang profesional pegawai dalam menentukan hala tuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan sebelum beliau meninggalkan kelab ini adalah tidak wajar," kata kenyataan itu.

Terengganu FC berkata mereka turut terkilan apabila Nafuzi cuba mengakhiri hubungan tujuh tahun di antara mereka dengan cara sedemikan dan akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil kerana ia mencalarkan imej kelab itu.