PERLAWANAN Liga Super antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Ahad menjadi perlawanan terakhir buat Mohd Amri Yahyah.

Perkara itu disahkan Sabah FC menerusi satu kenyataan yang menjelaskan Amri akan bersara daripada sukan bola sepak profesional.

"Perlawanan pada Sabtu adalah perlawanan terakhir 'Wak Am' sebagai pemain profesional. Amri Yahya telah bermain bersama pasukan Sabah selama tiga musim bermula tahun 2021-2023.

"Sepanjang bermain bersama pasukan Sabah FC, beliau sentiasa menjadi 'role model' kepada pemain lain atas komitmen dan kesungguhan apabila turun bermain.

"Selain itu susuk legenda ini turut disenangi oleh peminat ataupun penyokong dengan menggelar beliau sebagai 'Ketua Kampung Likas'," kata Sabah FC dalam kenyataan di laman Facebook mereka.

Pemain berusia 42 tahun itu turut berperanan sebagai antara watak penting kepada pasukan Harimau Malaya.

"Bagi peringkat kebangsaan pula, Amri Yahyah melakukan debut di pentas antarabangsa pada 8 September 2004 ketika berusia 23 tahun apabila masuk sebagai pemain gantian ketika skuad Harimau Malaya kendalian Bertalan Bicskei tewas 1-0 kepada China pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2006 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

"Sepanjang karier antarabangsanya selama 13 tahun, Amri telah mengumpul sebanyak 63 caps bersama skuad Harimau Malaya sehinggalah aksi terakhirnya pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun 2017 ketika usia 36 tahun.

"Buat Amri Yahyah, terima kasih atas segala curah bakti kepada pasukan Sabah FC dan Malaysia. di manapun anda berada, anda tatap legenda si hati pencinta bola sepak Sabah dan Malaysia," kata kenyataan itu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian