Ringkasan AI
- Perdana Menteri menegaskan kehadiran ibu bapa ke sekolah untuk menerima Bantuan Awal Persekolahan RM200 bertujuan menggalakkan penglibatan mereka dalam pendidikan anak.
- Bantuan akan diberikan kepada semua murid sekolah rendah dan menengah, dengan penyerahan dibuat melalui kehadiran ibu bapa ke sekolah, bukan ke akaun bank.
- Anwar turut menekankan kepentingan memupuk perpaduan kaum dan agama sejak di bangku sekolah demi keharmonian negara.
BALIK PULAU: Keputusan meminta ibu bapa hadir ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 bagi sesi persekolahan 2027 adalah untuk memastikan mereka turut memainkan peranan dalam memantau perkembangan dan prestasi pendidikan anak masing-masing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bukan bertujuan menyukarkan ibu bapa mendapatkan bantuan, sebaliknya mahu menggalakkan hubungan lebih rapat antara ibu bapa dengan pihak sekolah, khususnya guru.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyelar tindakan segelintir ibu bapa yang merungut apabila diminta hadir bertemu dengan guru untuk mendapatkan BAP mulai tahun depan.
“Apa salahnya hadir ke sekolah satu jam setahun, sedangkan anak-anak belajar enam, tujuh jam sehari. Ada ibu bapa complaint (merungut) Perdana Menteri nak bagi RM200 pun susah-susahkan kita kena ke sekolah.
“Tujuan saya adalah (untuk) ibu bapa tahu bagaimana sekolah, suasana anak-anak belajar dan tahu daripada guru sendiri tentang prestasi anak-anak,” kata beliau ketika berucap merasmikan Penutupan Program Yakin MADANI Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Anwar berkata bantuan RM200 itu akan diberikan kepada semua murid sekolah rendah serta menengah, dan menetapkan supaya penyerahan dibuat menerusi kehadiran ibu bapa ke sekolah dan bukan secara terus ke akaun bank seperti sebelum ini.
Beliau berkata peluang itu juga boleh dimanfaatkan ibu bapa untuk mendapatkan maklum balas guru mengenai sikap, disiplin dan perkembangan anak-anak, termasuk tanggungjawab mereka dalam menyiapkan kerja sekolah.
Perdana Menteri berkata penglibatan ibu bapa amat penting dalam memastikan pendidikan anak-anak bukan hanya menjadi tanggungjawab guru, sebaliknya turut mendapat perhatian dan sokongan keluarga.
Pada 25 Nov lepas, Anwar berkata pemberian BAP bagi sesi persekolahan 2027 dibuat di sekolah bagi menggalakkan ibu bapa hadir bertemu dengan guru, sekali gus dapat membincangkan perihal pendidikan anak masing-masing.
Selain itu, Perdana Menteri turut menasihati murid-murid yang hadir pada Program Yakin MADANI Pulau Pinang itu supaya menghormati ibu bapa dan guru serta memupuk hubungan persahabatan tanpa mengira kaum dan agama sejak di bangku sekolah.
Beliau berkata kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia perlu dilihat sebagai kekuatan negara, justeru generasi muda perlu dididik untuk saling mengenali, menghormati dan menerima perbezaan antara satu sama lain.
Anwar berkata hubungan baik antara murid Melayu, Cina dan India serta masyarakat pelbagai etnik lain perlu dipupuk sejak kecil bagi memastikan keharmonian dan perpaduan negara terus terpelihara.
"Di sekolah ada orang Melayu, ada Cina, ada India, kemudian dalam kalangan rakyat kita ada Iban, Kadazan dan Orang Asli. Mereka ini sahabat kita, latih dari awal.
"Jangan dengar pandangan sebahagian masyarakat yang asyik mengajak bermusuh dan bergaduh sahaja," kata beliau.
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja sehari di Pulau Pinang itu juga menegaskan Islam mengajar umatnya supaya saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain, bukannya menjadikan perbezaan kaum, agama dan keturunan sebagai alasan untuk bermusuhan.
-- BERNAMA