Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini, biarpun telah dilucutkan hak penganjuran oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

“Jika penganjuran sebuah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada membela saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim (perdana menteri Israel) Netanyahu, itu bermakna Malaysia sudah hilang kompas moralnya,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan IPC bahawa Amnesty International dan Human Rights Watch sendiri telah mendakwa bahawa rejim Netanyahu terlibat dalam jenayah perang.

“Sebagai pemimpin Israel, dia mewakili hasrat kolektif kerajaan Israel. Israel ialah lokus kepada tindakan moral kolektif mereka,” katanya.

BACA: Didakwa negara diskriminasi, IPC lucut hak penganjuran Malaysia

Terdahulu, IPC pada Ahad memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.

Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai 'anti-Semitisme melampau'.