Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada Jumaat menegaskan tiada lagi amalan 'bedak' (agih) tiket kepada ahli politik yang menyebabkan penyokong tegar pasukan Kedah tidak dapat menyaksikan aksi penting pasukan gara-gara kehabisan tiket.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata keputusan itu diambil bagi memastikan peristiwa memalukan tahun lalu tidak berulang apabila tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dikatakan habis dijual dalam tempoh sejam.

"Apa sebabnya.. kerana sebahagian tiket itu telah 'dibedak' oleh ahli politik untuk diberikan sebagai sagu hati kepada penyokong mereka di setiap daerah sedangkan mereka bukan peminat tegar sukan bola sepak.

"Ini amat memalukan... bayangkan perasaan kecewa penyokong KFA yang tidak pernah terlepas menonton satu pun perlawanan tapi tahun lepas dianaktirikan, tak diberi peluang untuk membeli tiket," katanya ketika berucap pada Malam Ambang 100 Hari Pakatan Harapan Kedah, pada Jumaat malam.

Sehubungan itu Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah memberi jaminan bahawa semua tiket akan dijual sama rata agar semua peminat berpeluang menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan negeri itu.

Pada 1 Nov tahun lalu, ribuan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat KFA di Stadium Darul Aman bagi menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir tersebut.

Kesemua mereka dimaklumkan tiket sebanyak 10,000 telah habis dijual pada 10 pagi walaupun empat kaunter dibuka hanya sejam sebelum itu.

Terdahulu, Mukhriz dan beberapa Exco kerajaan negeri membentangkan pencapaian 100 hari kerajaan PH di Kedah yang disifatkannya sebagai telah hampir 100 peratus dipenuhi.

Sepuluh janji PH tersebut ialah mengatasi masalah gangguan bekalan air, menyediakan sumbangan khairat kematian untuk semua kaum dan agama dalam tempoh 24 jam, menilai semua penglibatan ahli politik dalam KFA serta menubuhkan tabung penyakit kronik dan pusat dialisis.

Janji lain ialah menubuhkan Tabung Khas Wanita, merangka pelan satu keluarga satu rumah, membuka 'Bandar Belia', menggalakkan pertanian domestik, memperkenalkan mahkamah syariah secara bergerak serta menubuhkan pasukan petugas untuk menyelesaikan masalah tanah.

--BERNAMA