KUALA LUMPUR: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT) Jordi Amat percaya pengadil membuat keputusan yang tepat dengan tidak mengeluarkannya daripada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang menyaksikan kemenangan 3-1 JDT ke atas Terengganu FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Pemain antarabangsa Indonesia itu berkata kekasarannya terhadap Ivan Mamut di dalam kotak penalti adalah perkara biasa yang sering berlaku dalam banyak perlawanan, bertentangan dengan apa yang dianggap ramai yang beliau sepatutnya dibuang padang kerana menafikan peluang pemain Terengganu itu menjaringkan gol.

Pengadil S. Logeswaran hanya melayangkan kad kuning kepada Amat, yang menyaksikan Mamut bangkit untuk menyaringkan gol penyamaan daripada sepakan penalti pada separuh masa pertama.

"Memang benar kad kuning, itu perkara biasa, bola sepak ada banyak aksi, 50-50. Saya tahu Terengganu meminta itu (kad merah)... ia adalah perlawanan akhir jadi kamu perlu bermain 100 peratus atau lebih," kata pemain pertahanan berusia 31 tahun itu ketika ditemui selepas perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, beliau berkata ia satu perlawanan yang sukar, bagaimanapun JDT layak dinobatkan sebagai juara selepas mempamerkan kesungguhan dan keberanian di atas padang sepanjang 90 minit.

Amat berkata beliau juga bangga menjadi sebahagian daripada skuad JDT yang merupakan satu-satunya pasukan dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Malaysia 2023 setakat ini, selain mencipta treble untuk musim kedua berturut-turut.

"Ia sesuatu yang luar biasa (tanpa kekalahan), kami mencipta sejarah, menakjubkan," katanya.

Pada perlawanan akhir malam tadi, sepakan penalti Bergson Da Silva dan Mamut mengikat kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama sebelum tandukan pemain gantian Muhamad Feroz Baharudin dan sepakan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi pada separuh masa kedua memastikan kemenangan JDT.

Kemenangan malam tadi menjadikan JDT menjulang Piala Malaysia buat kali keempat selepas 2017, 2019 dan 2022, sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

-- BERNAMA