PETALING JAYA: Empat belas pasukan termasuk tiga pasukan baharu mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (10's) edisi ke-50, yang dijadual berlangsung di Padang Astaka di sini, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Lt Kol (B) Tommy Pereira berkata tiga pasukan baharu itu ialah Pakuranga United Rugby Club dan Palmerston North Boys High School, masing-masing dari New Zealand serta Port Moresby Harlequins dari Papua New Guinea.

Beliau berkata kejohanan tersebut, bagaimanapun tidak menyediakan sebarang hadiah wang kemenangan kecuali trofi dan pingat.

"Pada tahun sebelum ini ada ditawarkan wang kemenangan tapi, oleh kerana ini edisi ke-50 kami beritahu mereka yang mengambil bahagian bahawa ia tiada, berikutan kekangan kewangan.

"Namun, mereka sanggup datang kerana mereka merupakan rakan ragbi kita untuk tempoh yang lama," katanya pada sidang media pelancaran kejohanan tersebut, di sini hari ini.

Beliau berkata bersempena jubli emas kejohanan, selain menyokong objektif mempopularkan format 10's terutamanya dalam kalangan wanita, kejohanan tahun ini turut menyediakan pertandingan kategori wanita, yang akan diadakan serentak.

"Dalam memartabatkan lagi sukan ragbi, kita menampilkan cabaran buat pasukan wanita yang turut melakar pencapaian memberangsangkan pada Kejohanan Ragbi Asia Seven Series 2023 di Bangkok, Thailand pada bulan lepas," katanya.

Selain pasukan ragbi Cobra yang membawa cabaran negara dalam kategori lelaki, pasukan lain yang turut serta ialah Casuarina Cougars (Australia), Daveta Rugby (Fiji), Global Lions (New Zealand) selain NTK dan West Coast Sharks (Afrika Selatan).

Bagi kategori wanita pula melibatkan pasukan Cobra Venom, Dingoes RC dan Sabah Angel Warriors mewakili Malaysia sementara Bedok Kings dan Wolves RFC dari Singapura.

-- BERNAMA