MASALAH membabitkan pasukan Liga Premier, Kuantan FA nampaknya masih belum menemui titik penyudah apabila tiga pemainnya sah meninggalkan pasukan itu.

Tiga pemain tersebut ialah Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree dan Helmi Remeli yang telah diumumkan menyertai pasukan D’AR Wanderers FC, iaitu pasukan Liga FAM yang bertapak di Temerloh, Pahang.

"RASMI! Coach Hamizar, Zairul Fitree, Daudsu Jamaludin, Helmi Remeli kini milik D’AR WANDERERS FC.

"Kami di kem The Stallion mengucapkan selamat datang dan semoga berjaya bersama pasukan ini," tulis satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter kelab itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Daudsu dan Zairul yang merupakan bekas pemain Kelantan dan Helmi yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur sebelum ini akan mula didaftarkan sebagai pemain kelab itu pada jendela perpindahan kedua Mei nanti.

Bagaimanapun, difahamkan ketiga-tiga pemain itu tidak akan lagi bersama Kuantan FA sejak minggu lalu kerana telah meminta pelepasan awal dari kelab berkenaan.

Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan sekali lagi digemparkan dengan berita pemain-pemain dan pegawai Marcerra Kuantan FA tidak menerima gaji sejak tiga bulan yang lalu.

Masalah ini bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan Kuantan FA turut mempunyai sejarah tidak membayar gaji pemain sehingga 11 bulan pada musim 2017.