Skip to main content

Malaysia

Liga Super: JDT teruskan dominasi, KL City dan DPMM rakam kemenangan

GEORGE TOWN, 27 Feb -- Pemain pasukan Penang FC Douglas Coutinho Gomes De Souza (kanan) mengawal bola dari terlepas kepada pemain JDT FC Eddy Silvestre Pascual Israfilov pada perlawanan Liga Super 2026 di Stadium Bandaraya malam ini.  Keputusan semasa perlawanan, Penang FC 0-3 JDT.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain pasukan Penang FC Douglas Coutinho Gomes De Souza (kanan) mengawal bola dari terlepas kepada pemain JDT FC Eddy Silvestre Pascual Israfilov pada perlawanan Liga Super 2026 di Stadium Bandaraya malam ini. Keputusan semasa perlawanan, Penang FC 0-3 JDT. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dengan membenam Penang FC 4-0 dalam aksi di Stadium Bandaraya, George Town, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain import Brazil, Marcos Guilherme yang bijak melepasi kawalan pertahanan tuan rumah sebelum menewaskan penjaga gol, Mohd Ramdhan Ab Hamid.

Advertisement

Pasukan pelawat menggandakan asakan dan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-34 hasil rembatan kencang Bergson Da Silva yang menerima hantaran kemas Oscar Arribas.

Bersambung babak kedua, Bergson sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak gol ketiga perlawanan pada minit ke-68, sebelum Arribas melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol keempat menerusi tendangan jarak jauh pada masa kecederaan.

Sementara itu, hasrat Terengganu FC (TFC) untuk mengutip mata di laman sendiri lebur apabila tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Penjaga gol TFC, Suhaimi Husin yang kembali beraksi selepas berehat panjang, pada mulanya kental mempertahankan gawang daripada percubaan awal Dmytro Lytvyn dan Paolo Josue.

Bagaimanapun, kelekaan benteng pertahanan tuan rumah pada minit ke-62 membawa padah apabila Antonio Gomes melepaskan rembatan leret yang menerjah jaring untuk memberikan kemenangan berharga buat skuad Warga Kota.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), wakil Brunei, DPMM FC melonjak ke tangga keenam liga selepas menundukkan Kelantan The Real Warriors (TRW) 3-0.

Gol-gol kemenangan DPMM dijaringkan oleh Jordan Murray pada minit ke-12, diikuti Muhammad Syafiq Ahmad (minit ke-23) dan Jordan Rodrigues pada minit ke-69.

-- BERNAMA

Must Watch Video