TOTTENHAM telah mencapai persetujuan untuk menandatangani Fraser Forster secara percuma.

Pemain berusia 34 tahun itu akan menyertai pasukan pada awal bulan depan dengan perjanjian dua tahun sebaik sahaja kontraknya di Southampton tamat secara rasmi.

Forster telah menghabiskan kariernya selama lapan musim lalu di St Mary's membuat 134 penampilan bersama kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk dipinjamkan semusim ke Celtic pada 2019-20.

Ia termasuklah 19 perlawanan dalam liga utama musim lalu apabila melepaskan 35 gol dan mengekalkan tiga rekod tanpa bolos.

Tottenham mengesahkan ketibaan bekas pemain antarabangsa England itu dalam laman sesawang rasmi mereka awal pagi tadi.

"Saya sangat gembira," katanya.

"Ini adalah peluang menarik buat saya. Apabila tawaran daripada pasukan seperti ini hadir, adalah mustahil untuk mengatakan tidak.

"Saya tidak sabar untuk sampai ke sini bagi memuktamadkan kontraknya. Segala-galanya mengenai tempat ini bertaraf dunia. Stadium ini mungkin yang terbaik yang pernah saya kunjungi.

"Gelanggang latihannya sukar dipercayai. Saya sangat bertuah dapat datang ke sini untuk bekerja keras. Saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan."

Perjanjian itu dibuat seminggu selepas Spurs bersetuju untuk mengikat Ivan Perisic yang juga akan tiba secara percuma daripada Inter.