PEP Guardiola menegaskan keinginan untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bukanlah satu-satunya motivasinya untuk menandatangani kontrak baharu Manchester City, apa pun dia berasakan tempoh pengendaliannya tidak lengkap tanpa kejayaan Eropah.

Guardiola memanjangkan kontraknya di City bulan lalu untuk mengekalkannya di kelab itu sehingga akhir musim 2024-25.

City mendominasi kancah domestik di bawah bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu apabila memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) empat kali sejak lima musim lalu.

Bagaimanapun, kemenangan UCL masih di luar jangkauan mereka sesudah tumpas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir 2021 dan tunduk kepada Real Madrid di peringkat separuh akhir musim lalu.

Guardiola sedar ia akan mencacatkan rekodnya sekiranya City gagal menamatkan badi itu sebelum angkat kaki.

“Saya akui ia adalah trofi yang kami dambakan dan sudah tentu ia tidak akan lengkap selama tempoh saya di sini andai kami tidak memenanginya,” katanya kepada pemberita menjelang pertembungan Piala Liga Inggeris (EFL) dengan Liverpool, awal pagi esok.

"Tetapi ia bukan satu-satunya sebab saya menyambung kontrak, sama sekali tidak. Apa maknanya jika selama 11 bulan terakhir kami tidak bermain dalam UCL?

"Sudah tentu, saya akan melakukan segala-galanya di bawah kendalian. Kami akan terus mencuba, seperti yang kami lakukan sebelum ini. Sudah tentu ia adalah trofi yang kami belum ada dan kami akan cuba mencapainya."


Guardiola mengumpulkan 11 trofi di City tetapi pengurus berusia 51 tahun itu cukup berterima kasih atas kepercayaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan kelab.

"Saya telah katakan berulang kali sebab saya ada di sini. Terima kasih banyak atas keyakinan yang mereka berikan," katanya.

“Sukar untuk membalas semula atas apa yang telah ditunjukkan lembaga pengarah dan semua pihak dalam beberapa tahun ini.

“Sukar untuk saya menolak mereka kerana mereka masih mahu saya dan kakitangan saya, mencuba dan melakukan yang terbaik.

"Saya tidak mempunyai kata-kata yang cukup untuk menyatakan rasa terima kasih yang luar biasa terhadap kelab ini."

Selepas menentang Liverpool, City akan menyambung kembali kempen EPL menentang Leeds United pada Khamis depan.