ERLING Haaland menjaringkan gol yang ke-12 musim ini dalam hanya tujuh penampilan ketika Manchester City menang 4-0 di tempat lawan di Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain Norway yang prolifik itu mengekalkan permulaan menakjubkannya di City -- dan rekod cemerlangnya sendiri dalam pertandingan itu -- dengan meletakkan pelawat di hadapan di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Phil Foden dan Ruben Dias turut menjaringkan gol ketika City, yang memasang misi untuk merangkul mahkota Eropah yang sukar dicapai selepas bertahun-tahun menemui jalan buntu, dengan selesa memperoleh kemenangan aksi pembukaan Kumpulan G.


Haaland kini telah menjaringkan 26 gol dalam 21 perlawanan UCL, dia menjaringkan hatrik ketika membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu bersama Salzburg, dan turut memperoleh bilangan jaringan yang sama ketika turun buat pertama kali sebagai pemain Borussia Dortmund.

Dalam tujuh penampilan musim ini, dia hanya gagal menjaringkan gol sekali ketika bertemu Bournemouth sebelum meledak dua hatrik berturut-turut.