KUALA LUMPUR: Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu mampu menjadi permulaan yang baik dalam memartabatkan pendemokrasian sukan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika pelancaran menyuarakan bahawa pendemokrasian tersebut bermula dengan suara dan keterbukaan dalam memberi pandangan tanpa mengira latar belakang.

“Kanvas VSN2030 terbuka untuk semua. Siapa dan apa sahaja latar belakang anda, idea dan harapan anda amat bernilai buat kami.

"Tetapi, ia tidak terhad dalam aspek itu semata-mata. Pendemokrasian sukan wajar kita terjemahkan dalam beberapa aspek yang lain.

"Pertama, pendemokrasian sukan dari sudut penglibatan rakyat secara keseluruhannya. Belia, warga emas, kanak-kanak, lelaki, wanita, orang kelainan upaya, orang asal, rakyat daripada segenap lapisan mesti terkait dengan pembangunan sukan,” jelas Reezal.

BACA: Reezal Merican harap lebih banyak memori manis dilakar atlet negara 

Beliau pada masa berharap VSN 2030 yang akan diperkenalkan itu akan diisi dengan aspirasi dan harapan seluruh rakyat.

Katanya, ini kerana memandangkan VSN 2030 akan menjadi dokumen dan teks rasmi kerajaan yang dinamik dalam pembangunan sukan tanah air.

“Ia tidak boleh bersifat ‘stagnant’ dan ‘top-down’ semata-mata. Masa yang hanya kerajaan ‘tahu’ tentang semua perkara telah berlalu.

“Saya mengimpikan sebuah dokumen dasar yang sentiasa diteliti dan dihayati oleh rakyat," katanya.

KBS juga mengenal pasti beberapa komponen utama yang digariskan sebagai panduan kepada rakyat merangka dokumen dasar yang terlibat bagi hala tuju baharu tersebut.

Terdahulu, KBS melancarkan VSN 2030 bagi memastikan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan negara dipetakan dengan lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun akan datang.