SUKAN
Wai Ching bawa misi pertahan gelaran dunia di Menara Merdeka 118 bulan depan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bersama Soh Wai Ching (kanan) memanjat tangga Menara Komunikasi pada program Klinik Memanjat Tangga di Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Larian menuju puncak bukan sekadar perjuangan fizikal tetapi ia lambang keazaman bagi jaguh larian menara negara Soh Wai Ching, yang mahu mencabar dirinya mempertahankan gelaran juara dunia menerusi Kejohanan Asian Towerrunning and Ocenian 2025 yang berlangsung di Menara Merdeka 118 pada 30 Ogos.
Ringkasan AI
- Soh Wai Ching sasar pertahan gelaran dunia - Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, berazam mempertahankan gelaran juara dalam Kejohanan Asian Towerrunning and Ocenian 2025 di Menara Merdeka 118 dengan mendaki 2,845 anak tangga.
- Larian menara simbol semangat dan inspirasi - Wai Ching mahu membuktikan keazaman diri demi mengharumkan nama negara dan memberi inspirasi kepada rakyat, khususnya golongan muda.
- Rekod cemerlang dan persiapan rapi - Beliau pernah memegang rekod dunia Guinness dan MBOR serta mencatat jarak mendaki menara yang mengagumkan sebagai persediaan untuk kejohanan besar akan datang.
Wai Ching selaku pemegang rekod dunia bagi larian menara terpantas, bakal berhadapan saingan sengit atlet dunia yang sehingga kini merekodkan 4,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.
"Ini cabaran baharu saya, saya nak pertahankan dan menang kejohanan ini serta pertahankan kedudukan negara daripada dirampas peserta lain.
"Saya harap saya jadi juara dan nak pegang rekod terpantas mendaki tangga Menara Merdeka 118 kerana sebagai rakyat Malaysia, saya kena pertahankan rekod ini. Ini misi utama saya demi negara tercinta," katanya.
Beliau berkata langkah pada setiap anak tangga menara pencakar langit itu bukan sekadar mendaki bangunan, sebaliknya mahu menuju lebih jauh demi mempertahankan rekod, mengharumkan nama negara dan memberi inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
"Bagi saya, ini kejohanan terbesar dan berstatus kejohanan dunia. Saya tidak mahu kedudukan saya dirampas peserta lain," katanya yang juga pemegang status pelari menara nombor satu dunia.
Kejohanan Asia Towerrunning and Ocenian 2025 anjuran Persatuan Larian Menara Dunia (TWA) menghimpunkan atlet acara itu dari rantau Asia dan Ocenia, dengan Kuala Lumpur menjadi saksi perjuangan kental merebut takhta juara dunia mendaki 2,845 anak tangga Menara Merdeka 118, dengan kekuatan kaki, semangat dan impian.
Mengulas persepsi sesetengah pihak bahawa aktiviti menaiki tangga boleh memudaratkan lutut, Wai Ching menjelaskan bahawa aktiviti sihat itu sebenarnya lebih selamat daripada yang disangka.
"Ramai anggap naik tangga boleh sebabkan sakit lutut, tetapi sebenarnya tidak. Sukan ini satu bentuk aktiviti impak rendah yang tidak membebankan lutut kerana kita melawan graviti, bukan (aktiviti) berat macam sukan lain," katanya.
Wai Ching mula menceburi sukan larian menara pada 2017 pada usia 23 tahun dan sejak itu mula mencipta pelbagai kejayaan membanggakan sehingga berjaya menduduki ranking nombor satu dunia dari 2022 hingga 2024.
Beliau menjuarai Kejuaraan Dunia Towerrunning 2024 di Taipei dan turut mencipta nama apabila memegang Rekod Dunia Guiness 2020 bagi pendakian menegak tertinggi dalam masa satu jam dengan catatan 1.295 kilometer (km) mendaki tangga sebuah hotel di Kuala Lumpur pada November 2020, mengatasi rekod yang dicatat atlet dari Sepanyol iaitu 1.227km.
Terbaharu pada 19 Julai lepas, Wai Ching mencatat rekod baharu negara apabila mendaki sejauh 1.694km pada mesin tangga simulasi sebagai persiapan utama untuk Kejohanan Asian Towerrunning and Ocenian 2025.
Beliau juga mencipta sejarah apabila memecah rekod dunia serta empat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dalam satu cabaran menggunakan mesin tangga dalam tempoh satu jam dengan catatan jarak sejauh 1.788km.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami