Walaupun tewas pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei telah menunjukkan permainan yang membanggakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya rakyat Malaysia dapat merasakan kebanggaan ini seperti apa yang saya rasai," kata Perdana Menteri, yang menyaksikan perlawanan itu di layar gergasi di Dataran Putrajaya di sini, malam ini.

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menonton perlawanan antara Chong Wei dan pemain China, Chen Long, yang menyaksikan jaguh badminton negara itu tewas 18-21, 18-21.

Najib berkata walaupun tewas, Chong Wei telah mengharumkan nama negara.

Sementara itu, Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata Chong Wei telah melakukan yang terbaik, namun kekalahan itu harus diterima.

"Tidak apa (kalah). Kadangkala dalam hidup ini bukan semua yang kita hendak akan dapat. Tapi, saya rasa Chong Wei telah main yang terbaik.

"Saya akan hubunginya selepas ini untuk mengucapkan tahniah," katanya.

Selain ribuan penonton yang membanjiri Dataran Putrajaya sejak 7 malam tadi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan isteri Menteri Belia dan Sukan Nori Abdullah, turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Turut sama memberi sokongan ialah pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa acara keirin lelaki di temasya sukan tersebut.