KUALA LUMPUR: Beregu lelaki meningkat naik negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Kim Astrup-Anders Skraarup Rasmussen dari Denmark pada separuh akhir Masters Malaysia 2024 semalam.

Pada aksi di Axiata Arena itu, Wan Arif-Roy King ditewaskan pilihan kedua kejohanan itu menerusi permainan straight set 13-21, 19-21 dalam masa 43 minit.

Bagaimanapun, beregu di ranking ke-47 itu seharusnya berbangga apabila mereka melakar sensasi tersendiri pada kejohanan bertaraf Super 500 tersebut selepas menumpaskan beberapa pilihan kejohanan untuk menempah slot empat terbaik itu.

Roy King, 23, berkata mereka kurang berpuas hati dengan persembahan sendiri apabila kerap melakukan kesilapan sendiri pada set kedua, namun enggan tenggelam dalam kesedihan untuk terus memberi fokus kepada kejohanan seterusnya dengan terdekat di Terbuka Australia 2024 pada 11-16 Jun ini.

"Saya rasa satu kejohanan ini tak (boleh dibandingkan dengan beregu senior lelaki walaupun kami satu-satunya yang layak ke separuh akhir) tapi saya rasa ia saingan sihat kerana boleh memberi saingan untuk memburu keputusan yang lebih baik," katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Wan Arif, 21, berharap mereka konsisten melakukan kejutan dengan menumpaskan beberapa nama besar, selain sentiasa bebas daripada kecederaan.

Beliau turut berharap mereka lebih berani dalam membuat keputusan ketika mata penting apabila berjumpa pasangan ranking lebih tinggi.

"Mahu sasaran separuh akhir dan kita mampu memberi saingan kepada kelompok 20 utama dunia dan standard itu tidak jauh. Tapi kita belajar daripada mereka bila mata penentuan macam mana nak kawal rentak," katanya.

Pencapaian beregu negara itu boleh dibanggakan apabila melakar sensasi tersendiri apabila menumpaskan beregu China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 21-16 dan 21-12 pada pusingan pertama.

Mereka seterusnya menunjukkan jalan keluar kepada pilihan keempat dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan, 13-21, 21-15, 21-18 pada pusingan kedua serta menewaskan pilihan keenam Rasmus Kjaer-Frederick Soogard dari Denmark, 21-18, 14-21 dan 21-18 pada saingan suku akhir semalam.

-- BERNAMA