KUALA LUMPUR: Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia.

Kehebatan inilah yang dapat dibuktikan oleh Mimi Afzan Afza Abdul Karim, 54, seorang wanita yang bersifat lemah-lembut dan keibuan, namun tetap mampu menyumbangkan tenaga dan idea untuk membangunkan negara, terutama sebagai pengurus sukan.

Ibarat pepatah, berat mata memadang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu tujuh anak ini, bukan sahaja menjadi Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat antarabangsa, malah, beliau juga 'orang kuat' di sebalik pengurusan sukan futsal Selangor, acara sukan yang lazimnya didominasi lelaki.

Penglibatan Mimi Afzan di dalam sukan futsal bermula pada 2004 apabila beliau menemani anaknya bersama-sama sekumpulan enam pemain futsal Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai pertandingan futsal.

Sejak daripada situlah Mimi Afzan, yang mesra disapa 'aunty Mimi' tidak menoleh ke belakang dan terus menerajui Sukan futsal tanah air.

Menariknya, perjalanan Mimi Afzan, dalam sukan futsal membawa kepada penubuhan MAC Futsal Club dengan beliau bertindak sebagai pengurus pasukan MAC Selangor yang mempunyai 96 ahli, dengan majoritinya pemain merupakan pelajar UiTM Shah Alam.

Meskipun dikendali seorang wanita, pasukannya itu berjaya menjuarai edisi pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPLF) lelaki pada 2019.

Dugaan pertamanya hadir, tatkala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menukar Liga Futsal Kebangsaan sebagai MPLF pada tahun 2019, dengan penyertaanya hanya terbuka kepada pasukan negeri.

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon meminta kelab bimbinganya, iaitu MAC Futsal Club menyertai pertandingan itu di bawah logo negeri, kerana (FAS) hanya memberi tumpuan pada acara sukan bola sepak.

Ternyata, Selangor MAC Futsal di bawah kendalian Mimi Afzan berjaya memenangi edisi sulung pertandingan dengan 10 kemenangan dalam 13 perlawanan, meskipun pasukan itu pada awalnya bukanlah pasukan yang kuat.

"Pada peringkat awal, diakui orang hanya memandang sebelah mata pada pasukan (futsal) Selangor. Namun, saya berjaya memperkukuhkan pasukan Selangor," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, Mimi Afzan berkata: "Sebenarnya, saya tidak menjangkakan cabaran dalam bidang yang dikuasai lelaki. Sukan peringkat futsal semi-pro atau pro, tidak boleh lari daripada stigma masyarakat yang sering memandang rendah terhadap kebolehan kaum hawa yang hakikatnya mampu cemerlang dalam menguruskan pasukan sukan,".

"Malah, ada yang berfikiran bahawa disebabkan saya seorang wanita, saya boleh ditolak ke sana ke mari. Di sini silapnya mereka. Oleh kerana saya berada di dalam dunia lelaki, saya semestinya perlu berusaha lebih keras untuk berjaya.

"Sebagai pengurus wanita, cara saya mengurus tidak seperti lelaki. Pendekatan saya berbeza, saya mengurus (pasukan) umpama sebuah keluarga. Menjadi ibu agar lebih memahami dan bersifat lebih terbuka. Pemain juga menyapa saya sebagai 'aunty'.

"Malah, jurulatih dan pasukan pengurusan saya selain pegawai FAM juga memanggil saya 'aunty," katanya.

Menurut Mimi Afzan, sebelum wabak COVID-19 melanda, beliau sering berulang-alik dari Kuantan ke Shah Alam setiap minggu untuk memantau sesi latihan pasukannya itu, namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan kini, beliau menghabiskan masa beberapa minggu di Kuantan dan Shah Alam.

Biarpun MPLF 2020 telah dibatalkan kerana wabak COVID-19, Mimi Afzan tetap bertekad untuk mempertahankan gelaran kejuaraan ketika musim 2021 bermula, Jun depan.

Seorang lagi wanita hebat dalam dunia lelaki ialah Prof Datuk Dr S. Shamala, 48, yang mempunyai pengalaman luas selama dua puluh tahun dalam bidang pengurusan sukan.

Bagi Shamala, sudah tiba masanya golongan wanita merebut peluang dengan lelaki dalam urusan pentadbiran dan pengurusan badan sukan tanah air.

Shamala yang juga Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) berkata kini telah berakhir zaman wanita bergantung pada hanya kuota 25 peratus tempat yang diperuntukan di dalam persatuan sukan.

"Anda perlu bekerja sekeras sebagaimana lelaki kerana mereka bekerja keras untuk menjana kewangan dan meluangkan masa serta tanggungjawab (pentadbiran sukan).

"Anda perlu memegang jawatan untuk membolehkan anda menyumbang sesuatu, bukan kerana jantina anda,".

"Cabaran yang bakal dilalui wanita lebih besar berbanding lelaki terutama mereka yang sudah berkahwin," kata bekas pemain antarabangsa itu yang mula menceburi bidang pengurusan dan pentadbiran sukan sebagai Setiausaha Persatuan Hoki Wanita Malaysia pada 1999.

Shamala, yang juga seorang ahli akademik di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM) menasihati wanita yang sudah berkahwin yang menceburi bidang pengurusan dan pentadbiran sukan, agar bijak mengimbangi antara kerjaya dan keluarga serta tugas membesarkan anak-anak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Sukan OCM Datuk Mumtaz Jaafar, 59, berkata, penglibatan wanita dalam pentadbiran sukan di Malaysia sangat memberangsangkan namun beliau berharap dapat melihat lebih ramai wanita menyahut cabaran untuk menerajui persatuan sukan.

"Lebih ramai wanita muda, terutama bekas atlet, perlu tampil untuk memberikan sumbangan kepada persatuan sukan dan pemimpin persatuan serta kerajaan juga harus berperanan memberikan mereka motivasi," kata Mumtaz yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) serta wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Atletik Malaysia (MAF).

Selain Mimi Afzan, Shamala dan Mumtaz, terdapat ramai lagi wanita dalam bidang pengurusan dan pentadbiran sukan yang terkenal dan berjaya mengukir nama mereka di persada sukan tanah air.

Mereka termasuk bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo, yang juga Setiausaha Agung Konfiderasi Besbal dan Softbal (WBSC); ratu renang negara Nurul Huda Abdullah yang juga Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara dan Presiden wanita pertama Persatuan Olimpik Malaysia (MOA), Noraseela Mohd Khalid.

-- BERNAMA