Walaupun skuad Harimau Malaya tidak dapat menandingi Vietnam pada pusingan kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Hanoi pada Sabtu malam, ia langsung tidak menjatuhkan semangat para penyokong skuad negara.

Ribuan penyokong yang hadir menonton perlawanan itu secara langsung menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka, menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebanggaan rakyat Malaysia itu.

Salah seorang yang ditemui, Eleena Harris, 22, memberitahu bahawa dia yang pada awalnya menjangkakan Harimau Malaya akan menang sekurang-kurangnya 1-0. Begitupun, tetap setia menyokong skuad negara meskipun keputusan pada Sabtu malam memihak kepada Vietnam.

“Walaupun hujan, sokongan kita tetap bersama pasukan negara,” kata penyanyi yang sedang membina nama itu kepada Astro AWANI.

Bagi juruaudit Nabil Ismail, 23, beliau gembira dengan pencapaian Harimau Malaya setakat ini kerana dia berpendapat secara keseluruhannya prestasi skuad kebangsaan lebih baik dari yang sebelumnya.

BACA: #WeBelangTogether: 'Bukan rezeki Malaysia tetapi kami tetap kagum'

BACA : Terima kasih Malaysia! Terima kasih TMJ! - FAM

BACA : #WeBelangTogether, ribuan banjiri Dataran Merdeka

BACA : Harimau Malaya tewas? Ini reaksi spontan Tun Mahathir

Para penyokong yang membanjiri Dataran Merdeka di ibu negara malam Sabtu telah menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir tersebut menerusi layar gergasi anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama radio Era.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Malaysia terlepas peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan bola sepak paling berprestij di rantau Asia Tenggara itu selepas tunduk 0-1 kepada pasukan tuan rumah, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya kecundang 2-3 menerusi kiraan agregat.