Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2025

Man Wei Chong (kiri) dan Tee Kai Wun menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2025 dalam aksi pembukaan yang sengit di Saarbrucken, Jerman, malam tadi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2025 selepas menewaskan rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi dalam aksi pembukaan yang sengit di Saarbrucken, Jerman, malam tadi.
Beregu nombor lima dunia itu mempamer ketahanan mental dan ketenangan permainan untuk mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-16 dalam pertarungan selama 53 minit.
Kejayaan mereka hadir ketika satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir selepas tewas 16-21, 17-21 kepada beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.
Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu Leo Rolly-Bagas Maulana pada pusingan kedua.
Sementara itu, dua beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijangka turun ke gelanggang pada awal pagi esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


