MELAKA: Seramai 39 atlet dan 12 jurulatih menerima insentif berjumlah RM334,350 daripada kerajaan negeri Melaka menerusi Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) mengikut tahap pencapaian masing-masing dalam temasya sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penerima tertinggi ialah pemain badminton wanita negara cacat pendengaran, Boon Wei Ying, yang menerima insentif keseluruhan berjumlah RM60,000 atas kejayaannya meraih satu emas, perak dan gangsa dalam acara perseorangan, beregu dan beregu campuran di temasya Deaflympics 2022 di Brazil.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata kesemua penerima insentif itu merupakan pemenang pingat di Sukan SEA 2023 Kemboja, Sukan M alaysia (SUKMA) 2022, Sukan Para SUKMA 2022, temasya Sukan Deaflympics 2022 dan jurulatih SUKMA.

"Seramai 25 atlet Melaka mewakili negara ke Sukan SEA di Phnom Penh pada Mei lalu dan mempamerkan pencapaian agak memberangsangkan dengan merangkul empat pingat emas, lima perak dan empat gangsa.

"Selain itu, kita turut berbangga dengan kesungguhan atlet para yang meraih sembilan pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa di temasya Para SUKMA 2022," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Insentif kepada Atlet Melaka di Ayer Keroh, yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata kejayaan diraih itu juga membuktikan atlet kelahiran Melaka mempunyai potensi dan kualiti tersendiri bagi mengharumkan nama negeri dan negara.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan sentiasa menyokong usaha dan inisiatif untuk mengambil bahagian dan menganjurkan lebih banyak kejohanan di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan persediaan bagi menghadapi SUKMA 2024 di Sarawak yang dikendalikan menerusi persatuan sukan masing-masing dengan mengadakan latihan sama ada dua kali seminggu atau sebulan.

"Kita juga sedang dalam proses untuk mencadangkan supaya program ibu bapa dan jabatan angkat bagi sukan-sukan itu diteruskan tidak hanya dilantik ketika dua bulan sebelum temasya Sukma berlangsung.

"Ini bagi membolehkan pihak syarikat swasta yang dilantik sebagai bapa angkat dapat membantu menampung sedikit elaun kepada jurulatih," katanya.

-- BERNAMA