Arsene Wenger mempertahankan aksi pemain yang menyertai Arsenal pada dua bulan lalu, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mikhtaryan, selepas kedua-duanya menampilkan aksi longlai ketika menentang Manchester City, awal pagi tadi.

Arsenal tewas 3-0 buat kali kedua dengan lawan sama dalam masa lima hari di Emirates, selepas terlepas peluang menjulang Piala EFL di Wembley, Ahad lalu.

Bagi tahun 2018, Gunners telah tewas sebanyak tujuh perlawanan untuk muncul pasukan dalam liga Inggeris yang terbanyak merakamkan kekalahan.

Aubameyang menjaringkan gol dalam aksi debutnya bersama Arsenal, namun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal pagi tadi dan Mikhtaryan dilihat bergelut untuk mencuri perhatian ketika bertemu Citizens.

"Mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Apabila anda meraih banyak kekalahan, anda berada di bawah tekanan. Mereka baru sahaja menyertai kami, jadi saya pasti mereka akan membantu pasukan tidak lama lagi," kata Wenger.

Arsenal melalui permulaan yang bertenaga di Emirates, namun tiga gol dalam babak pertama dilihat mematikan sisa-sisa kebangkitan Gunners.

BACA: Manchester City gandakan luka Arsenal

"Saya rasa perlawanan itu amat tegang. Kami cuba mempersiapkan diri pada tahap terbaik. Kedua-dua pasukan juga sama.

"Saya tahu babak pertama akan menjadi sukar buat kami. Apa yang jelas, City tampak lebih yakin pada hari ini."

"Prestasi ketika ini diibaratkan naik melalui tangga dan turun menggunakan lif, jadi sebab itu anda tidak memiliki keyakinan. Saya memberikan komitmen sepenuhnya dan sentiasa fokus untuk perlawanan seterusnya."