Agihan bantuan kepada mangsa banjir di Aceh diteruskan

Sokongan berterusan daripada orang ramai diharap bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Aceh.- Foto Islamic Relief Malaysia
LHOKSEUMAWE: Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) meneruskan misi bantuan kemanusiaan susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Sumatera, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada hujung bulan lalu.
Perkara ini diumumkan Pegawai Kanan Bahagian Program IR Malaysia, Fathi Ridhwan Saidin, yang berada di Aceh bagi menyelaras operasi bantuan bersama Islamic Relief Indonesia (IR Indonesia) di sini.
"Pasukan Islamic Relief mengagihkan pelbagai barangan keperluan kecemasan termasuk tarpaulin, kit kebersihan, kit pembersihan, pek makanan, kelambu dan barangan asas lain kepada 320 isi rumah yang terjejas akibat bencana," katanya kepada Astro AWANI.
Selain pengagihan bantuan, Fathi turut menjalankan kerja-kerja penilaian dan tinjauan situasi semasa di lapangan bagi merangka pelan bantuan jangka pendek dan sederhana, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk Aceh yang terjejas teruk.
Menurut laporan terkini Agensi Pengurangan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia, jumlah korban akibat bencana tersebut meningkat kepada 1,016 orang, manakala 212 lagi masih dilaporkan hilang.
Penduduk yang terselamat masih berlindung di khemah perlindungan, masjid dan madrasah yang dijadikan pusat pemindahan sementara sejak hampir dua minggu lalu.
Dalam pada itu Fathi berkata, keadaan di beberapa kawasan di Aceh, khususnya Aceh Utara dan Lhokseumawe, paling teruk terjejas, dengan banyak lokasi masih tidak dapat diakses sama ada dari Banda Aceh atau Medan.

Penduduk yang terselamat masih berlindung di khemah perlindungan, masjid dan madrasah yang dijadikan pusat pemindahan sementara sejak hampir dua minggu lalu. - Foto Islamic Relief Malaysia
"Situasi ini berpunca daripada runtuhan jambatan dan kerosakan infrastruktur utama akibat banjir dan tanah runtuh, sekali gus menyukarkan bantuan kemanusiaan untuk sampai ke kawasan pedalaman," ujarnya.
Belau menambah, kesukaran tersebut menyebabkan ramai mangsa, terutamanya kanak-kanak, terpaksa berdepan kekurangan makanan dan tidur dalam keadaan lapar hampir setiap malam.
Islamic Relief Malaysia memaklumkan usaha bantuan akan diteruskan bergantung kepada keperluan semasa dan akses ke lokasi terjejas, sambil menyeru sokongan berterusan daripada orang ramai bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


