ARSENE Wenger menyokong rancangan untuk Piala Dunia yang diadakan setiap dua tahun, dengan menegaskan 'itulah yang diinginkan oleh peminat'.

Pertandingan ini diadakan setiap empat tahun dan bakal dianjurkan Qatar pada akhir tahun 2022.

Namun, badan pengelola bola sepak dunia FIFA sedang menjalankan kajian kemungkinan untuk menjadikan Piala Dunia sebagai acara dua tahunan.

Itu akan menggembirakan pihak penyiaran tetapi telah ditentang oleh liga dan kelab kerana ketakutan mengenai kehabisan tenaga pemain.

Tetapi Wenger, yang kini menjadi ketua perkembangan bola sepak global di FIFA, berpendapat bahawa pembaharuan kalendar bola sepak antarabangsa akan membantu kesejahteraan pemain.

"Saya selalu berasakan bahawa rehat jangka masa pendek tidak baik bagi pemain-pemain," katanya kepada Kicker.

"Itu selalu akan menjadi saat yang tidak menentu. Bagaimana perasaan pemain selepas itu? Adakah anda kembali mengalami kecederaan?"

Wenger memetik contoh Robert Lewandowski, yang mengalami kecederaan lutut ketika bertugas di Poland pada bulan Mac dan terlepas enam perlawanan untuk Bayern Munich, termasuk kedua-dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara mereka dengan Paris Saint-Germain.

"Ia merosakkan keseluruhan musim Liga Juara-Juara," kata Wenger.

"Pasukan kebangsaan dapat bertemu pada bulan Oktober, bermain tujuh perlawanan kelayakan selama sebulan dan kemudian bermain dalam final kejohanan pada bulan Jun.

"Kami mahu mengurangkan jumlah perlawanan -- itu sangat penting kerana kami dapat melihat keadaan pemain."

Bercakap pada bulan Mac, presiden FIFA, Gianni Infantino, mengatakan bahawa dia terbuka untuk idea baru untuk kalendar bola sepak pasca 2024, termasuk kemungkinan mengurangkan jumlah rehat antarabangsa.

Wenger menambah: "Lebih banyak perlawanan kalah mati, lebih sedikit perlawanan kelayakan. Itulah yang diinginkan peminat.

"Fikirkan dengan cara ini: Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada; Kejuaran Eropah 2027 dan kejohanan benua lain; Piala Dunia 2028 yang seterusnya; dan seterusnya.

"Kami menjamin masa rehat setelah setiap kejohanan."