Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Zainal Abas melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta, selepas diberi kepercayaan menyandang jawatan itu lebih tiga tahun lepas.

Dalam surat kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang bertarikh 1 Julai, Zainal berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya, kepada jawatan hakiki selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk S.M Muthu atas pelantikan selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia yang baharu. Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama lebih tiga tahun untuk menyandang jawatan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan.

"Adalah dengan ini saya ingin memaklumkan pihak Yang Berbahagia Datuk dan Kesatuan Olahraga Malaysia bahawa saya dengan ini meletak jawatan, selaku Ketua Jurulatih Kebangsaan berkuatkuasa 1 Julai 2019," katanya dalam surat tersebut.

Sepanjang lebih tiga tahun menjawat jawatan itu sejak 2015, beliau berjaya membantu memulihkan imej sukan olahraga di persada antarabangsa, apabila atlet di bawah jagaannya berjaya memperbaharui catatan rekod kebangsaan sebanyak 37 kali dengan membabitkan 17 acara olahraga yang berbeza, diikuti tiga rekod Sukan SEA turut berjaya diperbaharui dan satu rekod disamai oleh empat orang atlet di temasya Sukan SEA yang lepas.

Kecemerlangan atlet diteruskan dengan menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkefli menjadi atlet wanita kedua dalam sejarah olahraga Malaysia layak ke separuh akhir Sukan Komanwel 2018 dan layak ke akhir Sukan Asia 2018 selepas G. Shanti melakukannya pada 1998 dalam acara 100m.

Selain itu, kuartet 4x100m lelaki turut menyerlah di Gold Coast, Australia apabila mencipta sejarah menjadi kuartet lelaki pertama negara berjaya ke acara akhir di temasya itu.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atlet yang telah menunjukkan kesungguhan dan kecekalan dalam menggapai impian mereka. Teruskan usaha anda dan saya pasti kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

"Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada rakan-rakan jurulatih yang telah banyak memberikan kerjasama dalam merangka dan mengendali program latihan atlet tanpa mengenal erti penat. Hanya Allah yang mampu membalas jasa anda," kata jurulatih berusia 52 tahun itu.

Dalam pada itu, Zainal berkata beliau akan meneruskan khidmatnya bersama 'World Athletics' sebagai pensyarah kejurulatihan dan sentiasa bersedia membantu atlet dan jurulatih selagi berupaya dan diperlukan.

-- BERNAMA