Atlet elit olahraga paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul emas acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis hari ini.

Pertama kali beraksi di kejohanan itu, beliau melakukan lontaran sejauh 15.32 meter.

Pingat perak acara itu diraih Jeffery Ige dari Sweden dengan lontaran 15.28 meter manakala gangsa milik pemenang pingat emas Sukan Paralimpik London, Todd Hodgetts dari Australia, dengan lontaran 15.17 meter.

Muhammad Ziyad, dalam status laman Facebooknya, berkata beliau amat berpuas hati dengan keputusan itu.

"Rasa bangga sangat hari ini... lagu Negaraku berkumandang di bumi Perancis...jarak balingan 15.32 meter... pingat emas...," katanya.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan atlet berusia 23 tahun dari Gombak, Selangor memperbaiki rekod kebangsaan dan catatan terbaik peribadi miliknya, iaitu 15.21 meter, yang dilakukan di Sukan Paralimpik London pada September tahun lepas.

Pada temasya sukan terbesar bagi atlet kelainan upaya itu, Muhammad Ziyad turut meraih gangsa, pingat kedua buat kontinjen Malaysia selepas Hasihin Sanawi meraih perak, melalui acara memanah.

Muhammad Ziyad melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia IPC selepas melakukan lontaran sejauh 14.79 meter pada Grand Prix Olahraga IPC di Itali, Mei lepas.