Zuraidi mahu skuad boling padang perkemas aksi hadapi Sukan Komanwel Glasgow

Menurut Zuraidi, penggunaan gelanggang mudah alih (portable rink) yang membolehkan pemain berlatih dalam simulasi pertandingan sebenar turut membantu memperkukuh persiapan mereka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad boling padang negara mungkin boleh berasa bangga selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Piala Dunia 2025 yang berakhir semalam, namun ketua jurulatihnya, Zuraidi Puteh, menegaskan masih terdapat aspek permainan yang perlu diperkemas menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun depan.
Ringkasan AI
- Malaysia menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Piala Dunia 2025 boling padang, meraih satu emas dan tiga gangsa di Stadium Juara, Bukit Kiara.
- Pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji, menyumbang pingat emas selepas menewaskan wakil England dalam acara singles wanita.
- Ketua jurulatih Zuraidi Puteh menegaskan perlunya memperkukuhkan aspek permainan pasukan menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun depan untuk mengekalkan kejayaan Malaysia.
Kemenangan itu cukup bermakna buat atlet berusia 39 tahun berkenaan selepas tewas kepada lawan sama di peringkat kumpulan sebelum ini.
Tiga pingat gangsa negara pula diperoleh menerusi Nurul Alyani Jamil (singles wanita), Izzat Shameer Dzulkeple (singles lelaki) dan Jariah Zakaria (singles wanita para).
Zuraidi berkata pencapaian itu membuktikan peningkatan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa namun masih ada kelemahan kecil yang perlu diberi perhatian.
"Kita hampir mencapai keputusan lebih baik, tetapi terdapat beberapa kesilapan kecil yang sepatutnya boleh dielakkan.
"Oleh itu, kita akan menilai semula dan memperkukuh struktur latihan sedia ada. Setiap kesilapan menjadi pengajaran penting untuk menghadapi Sukan Komanwel tahun depan," katanya kepada pemberita selepas tamat kejohanan.
Menurut Zuraidi, penggunaan gelanggang mudah alih (portable rink) yang membolehkan pemain berlatih dalam simulasi pertandingan sebenar turut membantu memperkukuh persiapan mereka.
"Satu emas dan tiga gangsa ini menjadi penanda aras yang baik untuk empat tahun akan datang. Kami akan terus mempertingkatkan semua aspek bagi memastikan Malaysia kekal antara pasukan terbaik dunia," katanya.
Tatkala Sukan Komanwel semakin hampir dan desas-desus kemungkinan sukan boling padang dipertandingkan pada Sukan Olimpik Brisbane 2032, Zuraidi percaya pemain negara kini bersemangat untuk mengekalkan momentum kejayaan dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


