SYARIKAT pembangunan kecerdasan buatan Anthropic menjelaskan sebab mereka enggan memberi akses tanpa had kepada pihak ketenteraan Amerika Syarikat terhadap model AI Claude, selepas hubungan antara kedua-dua pihak berakhir minggu lalu.
Sebelum ini, Pentagon melalui Department of War mengarahkan Anthropic supaya membenarkan penggunaan Claude bagi semua tujuan “yang sah”.
Advertisement
Namun syarikat itu menolak permintaan tersebut, khususnya berhubung dua perkara: penggunaan AI bagi pengawasan massa rakyat Amerika Syarikat dan senjata autonomi, lapor Amanz.
Ekoran keengganan itu, Anthropic telah disenaraikan sebagai risiko rantaian bekalan pertahanan, satu label yang lazimnya dikenakan terhadap pihak luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dario Amodei, dalam temu bual bersama rangkaian berita CBS, berkata tempoh masa tiga hari yang diberikan kerajaan AS untuk membuat keputusan adalah terlalu singkat.
Beliau turut mendakwa terdapat pindaan dalam teks perjanjian yang membolehkan alasan “keselamatan negara” digunakan untuk memperluas penggunaan Claude di luar konteks ketenteraan.
Amodei menegaskan tiada model kecerdasan buatan pada masa ini yang cukup matang untuk memastikan sistem senjata yang dibangunkan tidak melakukan kesilapan.
Katanya, sekiranya kesilapan berlaku, isu kebertanggungjawaban tidak jelas dan ini memerlukan perbincangan lebih luas melibatkan Kongres serta masyarakat Amerika Syarikat.
Anthropic sebelum ini mempunyai kontrak bernilai sehingga AS$200 juta dengan Pentagon, namun kontrak itu ditamatkan selepas mereka enggan melonggarkan syarat keselamatan yang ditetapkan.
Keputusan tersebut menyebabkan syarikat lain yang berurusan dengan Pentagon turut tidak dibenarkan menggunakan teknologi Claude.
Selepas penamatan kontrak tersebut, OpenAI dilaporkan mengambil alih peranan itu dan mencapai persetujuan baharu bagi membenarkan penggunaan model mereka dalam rangkaian sulit Pentagon, dengan syarat keselamatan tertentu.
Bagaimanapun, laporan media Amerika Syarikat mendedahkan bahawa US Central Command (CENTCOM) masih menggunakan Claude dalam operasi ketenteraan, termasuk serangan udara ke atas Iran, hanya beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mengarahkan semua agensi persekutuan menghentikan penggunaannya.