USAHA Apple untuk lebih berdikari dalam masa terdekat ialah menggunakan rekaan skrin, memori, dan sensor kamera sendiri bagi mengurangkan kos.

Mereka telahpun berjaya membangunkan cip sendiri dengan usaha menghasilkan modem selular pula sedang dijalankan.

Menurut laporan MacRumors, pembangunan modem 5G ini mungkin telahpun dihentikan.

Memetik dua sumber berlainan, laporan mengatakan Apple dalam proses menghentikan pembangunan modem berdasarkan maklumat yang diberikan kepada rantaian bekalan.

Antara isu yang pernah dilaporkan oleh kami sebelum ini ialah prestasi modem yang kurang memuaskan apabila dibandingkan dengan modem Qualcomm yang digunakan sekarang.

Masih tiada kenyataan rasmi mengesahkan ura-ura ini.

Pembangunan modem sendiri ini tidak berjalan lancar walaupun selepas Apple mengambil alih perniagaan ini daripada Intel beberapa tahun yang lalu.

Ia turut terlibat dalam kes saman oleh Qualcomm yang mendakwa harta intelek digunakan tanpa kebenaran sehingga ia diselesaikan di luar mahkamah dengan bayaran $18 bilion pada tahun 2019. -Amanz