Aridge perkenal ‘Land Aircraft Carrier' untuk pengangkutan darat dan udara

Aridge lancar kenderaan hibrid yang boleh memandu dan terbang, menandakan langkah besar dalam mobiliti udara peribadi.
DUBAI: Syarikat teknologi dari China, Aridge, telah memperkenalkan apa yang dikenali sebagai ‘Land Aircraft Carrier", sebuah kenderaan hibrid yang berfungsi sebagai kereta dan juga pesawat.
Menurut kakitangan Aridge, Yuqing Zhou, sistem ini terdiri daripada dua komponen yang diintegrasikan: satu, badan kenderaan dan satu lagi, pesawat boleh tanggal yang disimpan di dalam ruang belakang, membolehkan peralihan lancar antara pemanduan dan penerbangan.
“Anda boleh memandunya di atas jalan raya, dan apabila modul penerbangan dilepaskan, ia juga boleh terbang di udara,” kata Zhou, sambil menegaskan bahawa sistem ini berbeza daripada pesawat eVTOL konvensional yang hanya beroperasi dari lapangan terbang.
Ketika ditemu bual Astro AWANI, beliau menjelaskan bahawa reka bentuknya memenuhi tiga keperluan utama, keupayaan pemindahan, kecekapan pengecasan dan mobiliti, sekali gus memberikan kelebihan dalam apa yang Aridge gelarkan sebagai ‘penerbangan berasaskan darat’.“Selama ini, kami telah berjaya menggabungkan kepakaran dalam bidang penerbangan dan automotif.
“Dalam penghasilan 'Land Aircraft Carrier' ini, ramai jurutera kami secara proaktif menerapkan prinsip reka bentuk automotif dalam pembuatan pesawat,” katanya.
Beliau berkata, barisan pemasangan moden syarikat kini bersedia untuk pengeluaran besar-besaran.
“Kapasiti pengeluaran tahunan kami ditetapkan sebanyak 10,000 unit. Ini meletakkan kami di hadapan dalam industri pesawat elektrik dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).”
Walaupun pada peringkat awal disasarkan untuk kegunaan peribadi, Zhou berkata ‘Land Aircraft Carrier' itu turut berpotensi digunakan dalam operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan dan tindak balas kecemasan.
Mengulas soal keselamatan, Zhou berkata pesawat ini direka dengan pelbagai sistem keselamatan berlapis.
“Sekiranya berlaku kegagalan sistem, kawalan boleh dipindahkan dalam masa femtosaat, memastikan tahap keselamatan penerbangan yang tertinggi.
“Pesawat ini juga dilengkapi dengan dua unit bateri berasingan, yang menyediakan satu lagi lapisan keselamatan operasi tambahan,” tambah beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami