SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft AI, Mustafa Suleyman, meramalkan sistem kecerdasan buatan (AI) akan menghampiri keupayaan manusia dalam pelbagai tugasan profesional dalam tempoh kira-kira 18 bulan.
Menurut laporan majalah Fortune, unjuran tersebut merangkumi peningkatan tahap automasi dalam bidang seperti perakaunan, perundangan, pemasaran serta pengurusan projek.
Beliau berkata perkembangan itu bakal menyaksikan ejen AI mampu mengendalikan rantaian kerja yang kompleks dengan tahap kecekapan setanding tenaga kerja profesional.
“Dalam tempoh 18 bulan akan datang, kita bakal menyaksikan peralihan di mana ejen AI mampu menguruskan aliran kerja korporat yang kompleks dengan kecekapan yang menghampiri manusia,” kata Mustafa.
Bagaimanapun, pandangan tersebut menerima reaksi berhati-hati dalam kalangan penyelidik, termasuk pakar sains kognitif Gary Marcus yang menyifatkan jangkaan itu terlalu optimistik serta mengabaikan kelemahan semasa teknologi AI.
Sebagai menyokong pendirian itu, Marcus dilaporkan menawarkan pertaruhan bernilai AS$100,000 (kira-kira RM393,150), dengan menyatakan sistem AI sedia ada masih berdepan isu ketepatan maklumat dan kelemahan penaakulan asas.
Perkembangan ini berlaku ketika industri teknologi beralih daripada model bahasa raya kepada pembangunan ejen AI autonomi yang lebih kompleks bagi menyokong pelbagai fungsi kerja.
Penganalisis pasaran buruh memberi amaran bahawa sekiranya unjuran tersebut menjadi kenyataan, ia boleh mencetuskan perubahan ketara dalam struktur pekerjaan global serta meningkatkan keperluan kepada perlindungan tenaga kerja.