SHENZHEN: Syarikat teknologi dron terkemuka dunia, DJI, memfailkan saman terhadap Insta360 di Mahkamah Pertengahan Shenzhen atas dakwaan pelanggaran enam paten berkaitan teknologi kawalan penerbangan dron, pemprosesan imej dan reka bentuk perkakasan.
Dalam tuntutan tersebut, DJI menegaskan bahawa paten berkenaan secara sah merupakan hak milik mereka kerana didakwa dibangunkan oleh bekas kakitangan syarikat itu dalam tempoh setahun selepas mereka meletak jawatan, lapor Amanz.
Advertisement
Mengikut peruntukan undang-undang di China, sesebuah syarikat mempunyai hak tuntutan ke atas paten jika inovasi tersebut dihasilkan oleh bekas pekerja yang berpindah ke syarikat baharu sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan skop tugas lama mereka.
Bagaimanapun, Pengasas Insta360, JK Liu, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa kesemua inovasi yang dipertikaikan itu adalah hasil kreativiti serta pembangunan dalaman pasukannya sendiri.
Liu dalam satu kenyataan balas turut mendakwa bahawa DJI sebenarnya telah meniru beberapa fungsi serta aksesori kamera keluaran syarikatnya untuk digunakan pada produk pesaing tersebut.
Tambah beliau, pihak Insta360 telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 28 paten milik mereka yang berpotensi dilanggar oleh produk DJI, namun pihaknya memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang buat masa ini kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan inovasi berbanding proses litigasi.
Persaingan antara dua gergasi teknologi China ini dilihat semakin sengit memandangkan kedua-duanya kini bersaing dalam segmen pasaran yang sama termasuk dron, kamera aksi kompak dan sistem mikrofon, terutamanya selepas pelancaran dron Antigravity A1 oleh Insta360 yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia.