JAKARTA: Televisi Republik Indonesia (TVRI) memulakan ujian teknologi penyiaran 5G Broadcast di ibu negara Indonesia sebagai sebahagian usaha memodenkan ekosistem penyiaran negara itu.
Ujian berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital (KOMDIGI) Indonesia serta syarikat teknologi Jerman, Rohde & Schwarz, bagi memperkukuh penyampaian maklumat awam dalam era digital, lapor Amanz.
Melalui teknologi 5G Broadcast, siaran TVRI boleh diterima menerusi peranti yang serasi tanpa memerlukan kad SIM, sambungan internet atau penggunaan kuota data.
Sistem itu membolehkan kandungan disiarkan secara langsung kepada pengguna tanpa perlu memasang antena tambahan seperti yang lazim digunakan bagi penerimaan siaran digital DVB-T2.
Teknologi berkenaan turut membolehkan penghantaran kandungan kepada jutaan peranti secara serentak, sekali gus sesuai digunakan untuk penyebaran maklumat kecemasan ketika berlaku kesesakan rangkaian komunikasi atau bencana alam.
Bagaimanapun, KOMDIGI menegaskan bahawa 5G Broadcast bukan bertujuan menggantikan DVB-T2, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada sistem penyiaran sedia ada yang kekal menjadi tulang belakang penyiaran nasional Indonesia.
Selain Indonesia, teknologi 5G Broadcast turut diuji di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol dan Perancis, dengan beberapa demonstrasi teknologi pernah dilaksanakan sempena Sukan Olimpik Paris 2024.