GADGETS
Malaysia perlu polisi pintar berteraskan AI - Gobind

Gobind berkata, perubahan landskap global dan perkembangan teknologi di negara-negara lain menuntut Malaysia untuk mengambil langkah lebih proaktif agar tidak ketinggalan. - Gambar fail
Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengangkat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam transformasi negara, khususnya dalam sektor ekonomi, kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, perubahan landskap global dan perkembangan teknologi di negara-negara lain menuntut Malaysia untuk mengambil langkah lebih proaktif agar tidak ketinggalan.
“Kita perlu menjelaskan dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk menerima teknologi baharu bagaimana teknologi ini mampu mengubah hidup mereka secara langsung.
“Kementerian Digital kini sedang mengenal pasti sektor penting seperti kesihatan, pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan yang boleh ditransformasikan melalui penggunaan teknologi,” katanya dalam satu forum Ekonomi Asean GCC, di sini, hari ini.Tambahannya, dalam sektor pengangkutan pula, beliau menyentuh kepentingan sistem trafik pintar dan kepastian ketibaan pengangkutan awam seperti bas mengikut jadual yang tepat.
“Bila kita bercakap tentang bandar pintar, sebenarnya kita sedang membentuk naratif baharu iaitu bagaimana teknologi menjadikan hidup lebih baik. Kini, kita perlu melangkah lebih jauh dan berbicara mengenai ‘bandar AI’,” ujar beliau.
Gobind turut mengakui bahawa beberapa negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor sudah mempunyai pusat arahan digital, namun cabaran kini adalah menyatukan usaha ini di peringkat nasional, termasuk membina pusat arahan nasional dengan teknologi terkini termasuk AI dan ‘digital twin’.
Mengulas mengenai persaingan teknologi antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, Gobind menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendekatan inklusif dan tidak memihak.
“Kita bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan negara dan rakyat. Banyak pusat data kini dibina di Malaysia, namun kita perlu pastikan ia disokong oleh ekosistem tempatan.
“Kerjasama antara kerajaan dan industri adalah kunci. Kita perlu mendengar pandangan industri dan pastikan dasar kita menyokong keperluan mereka,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami