KUALA LUMPUR: MyDigital ID akan terus diperkasa melalui perancangan serta pembangunan penambahbaikan jangka panjang, termasuk persediaan ke arah penggunaan teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman siber komputer kuantum.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata persediaan dilaksanakan menerusi pendekatan crypto-agility, iaitu keupayaan seni bina sistem untuk beralih kepada algoritma kriptografi baharu secara terancang, selaras dengan perkembangan piawaian antarabangsa dan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi).
Beliau berkata dalam aspek keselamatan pengguna, sistem MyDigital ID menggunakan ciri pengesahan berbilang faktor (MFA) yang mewajibkan pengguna melalui lebih daripada satu tapisan pengesahan sebelum sebarang akses diberikan.
“Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh keselamatan identiti digital pengguna serta mengurangkan risiko kebocoran, penipuan, penyamaran dan kecurian identiti semasa mengakses perkhidmatan dalam talian yang diintegrasikan dengan MyDigital ID,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai mekanisme keselamatan kriptografi yang digunakan MyDigital ID.
Ahmad Zahid berkata MyDigital ID menggunakan pelbagai mekanisme keselamatan kriptografi bagi memastikan kerahsiaan, integriti dan keselamatan identiti digital rakyat dilindungi sepenuhnya.
“Kerajaan kekal tegas dan komited dalam memastikan keselamatan serta perlindungan identiti digital rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.
“Komitmen ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekosistem digital negara di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap penggunaan perkhidmatan dalam talian kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sehingga 7 Okt lepas, sejumlah 14.2 juta rakyat mendaftar MyDigital ID dan dari segi pengunaan, ia merekodkan secara kumulatif sebanyak 82.75 juta transaksi log masuk sejak 2024 dengan kadar penggunaan semasa melebihi 200,000 transaksi sehari susulan peluasan penggunaan platform berkenaan yang kini menyokong lebih 200 aplikasi dan perkhidmatan digital sektor kerajaan dan swasta.
-- BERNAMA