PLATFORM media sosial yang popular pada awal tahun 2000-an, MySpace, dilapor merancang untuk dilancarkan semula dalam pasaran digital global dalam masa terdekat, lapor Amanz.
Pemilik platform itu mendedahkan perkara berkenaan menerusi sebuah dokumentari terbaharu yang turut menggariskan hasrat mereka untuk menghidupkan semula jenama media sosial berkenaan.
Walaupun usaha penjenamaan semula yang memfokuskan industri muzik pada 2013 kurang mendapat sambutan, pemiliknya berkata mereka kini merancang untuk melancarkan semula platform itu sebagai alternatif kepada landskap media sosial semasa.
Bagaimanapun, tiada tarikh rasmi pelancaran diumumkan setakat ini.
Sesetengah penganalisis industri berpandangan langkah itu didorong oleh peningkatan minat pengguna internet untuk mencari alternatif kepada platform media sosial utama susulan fenomena keletihan digital.
Pengguna juga dilihat semakin cenderung kepada platform yang lebih mesra kesihatan mental serta tidak terlalu bergantung pada algoritma yang menggalakkan penggunaan berlebihan.
Pasaran media sosial ketika ini turut menyaksikan kemunculan beberapa platform alternatif termasuk Bluesky dan Mastodon.
Selain itu, terdapat juga pihak yang memperoleh hak tanda dagang dan domain Friendster dengan tujuan membangunkan perkhidmatan baharu yang memberi tumpuan kepada hubungan persahabatan di dunia sebenar tanpa kebergantungan kepada algoritma.