PADA awal Oktober ini, MY E.G Services Berhad (MYEG) telah memeterai sebuah perjanjian MoU dengan MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd untuk bersama-sama membangunkan dan mengendalikan Lapisan 1 blockchain nasional menggunakan teknologi blockchain Zetrix dan MIMOS sebagai komponen Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI).

MBI ialah elemen utama Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Ogos yang lalu berdasarkan lima prinsip utama Pelan Hala Tuju Teknologi Negara, yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi blockchain.

Malaysia mungkin agak berhati-hati dalam penerimaan sistem blockchain, yang pertama kalinya mendapat perhatian dunia pada tahun 2008 / 2009.

Walau bagaimanapun, kini, ia bergerak ke haluan yang betul – perjanjian MOU ini bertujuan untuk membawa aplikasi Web 3 yang akan datang kepada kedua-dua sektor kerajaan dan komersial di Malaysia, sekali gus membantu memacu Malaysia menjadi sebuah negara inovasi yang terkemuka serta dapat mencapai objektif seperti yang telah dikemukakan di dalam Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara.

Tidak dinafikan, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran terhadap topik blockchain dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang implikasi blockchain nasional.

Statistik MOSTI menunjukkan bahawa 56% rakyat Malaysia tidak mengenali atau tidak memahami tentang penggunaan teknologi blockchain serta kepentingannya terhadap masa hadapan teknologi negara.

Menurut pengalaman saya, ramai yang hanya mengaitkan blockchain dengan Bitcoin.

Seperti namanya, blockchain merujuk kepada blok yang mengandungi data aset digital dalam rantaian yang sama.

Apabila satu data telah direkodkan kepada blockchain atau siri rantaian blok, pengubahan lejar teragih umum ini akan menjadi sangat sukar- malah mustahil untuk dilakukan kerana data yang disimpan di dalam blockchain disulitkan oleh algorithma yang sangat kompleks.

Meskipun blockchain merupakan kunci teknologi di sebalik penciptaan Bitcoin, ia mempunyai fungsi dan variasi yang masih belum diketahui umum.

Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara bertujuan untuk membimbing Malaysia ke arah Blockchain 2.0 dan melangkaui peranan Blockchain dalam mata wang kripto.

Pelan ini memberi fokus kepada potensi blockchain dalam menangani beberapa isu utama perniagaan, termasuk penipuan dalam perniagaan, pemantauan rantaian bekalan dan juga pengesahan identiti, yang boleh meningkatkan lagi kecekapan dan mengurangkan kos dalam transaksi perniagaan.

Dalam hal ini, teknologi blockchain Zetrix memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani cabaran- cabaran yang sering menjadi penghalang di dalam komuniti perniagaan.

Ia mampu menambahbaik proses pendigitalan, memudahkan proses automasi, membekalkan keselamatan, kebolehkesanan, ketelusan dan ketulenan, sekali gus membawa kepada kecekapan kos operasi dengan pengurangan penggunaan kertas kerja dan tenaga manusia. Ini semua sangat bermanfaat bagi rantaian bekalan.

Sebagai contoh, jika dilihat dalam industri Halal: satu produk boleh dikesan, direkodkan dan disahkan di setiap peringkat dalam kitaran bekalan.

Ini akan menjamin keaslian dan kualiti akhir produk, dan teknologi ini dapat dipraktikkan oleh mana-mana industri perdagangan atau pembuatan yang lain.

Pada nota ini, pembiayaan rantaian bekalan – yang merujuk kepada cara-cara institusi kewangan menguruskan modal dan mengurangkan risiko yang dilaburkan ke dalam rantaian bekalan– merupakan komponen yang sangat penting.

Sebagai contoh, sistem pembiayaan rantaian bekalan yang menggunakan blockchain akan memudahkan lagi rantaian bekalan pelbagai pihak berkepentingan yang bersifat kompleks dengan mengekalkan maklumat pergerakkan dan perbelanjaan dalam masa sebenar, memperkemaskan sumber kewangan dan juga memudahkan lagi sistem operasi perniagaan.

Di samping pengumuman MOU blockchain negara bersama MIMOS seperti yang dinyatakan di atas, MYEG juga telah melancarkan aplikasi terdesentralisasi yang dikenali sebagai Zetrix Tradefi yang memudahkan serta menyelesaikan isu rantaian bekalan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan teknologi blockchain.

Satu lagi kes penggunaan yang menarik ialah dokumentasi, di mana ia akan memberi manfaat kepada rakyat yang menggunakan teknologi ini untuk kebolehubah data atau maklumat tidak terdedah.

Bayangkan, semua jenis pengenalan peribadi, rekod atau pemilikkan seperti pendidikan, perubatan, vaksinasi, cukai jalan dan dokumen yang lain disimpan secara digital dan selamat.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan servis perkhidmatan kerajaan, malah dapat memudahkan pengguna untuk mengakses dan menggunakan maklumat mereka sendiri.

Menariknya, meskipun kepercayaan merupakan tunggak utama di dalam sesebuah perniagaan, Sifat teknologi blockchain membolehkan anda untuk mengenepikan faktor kepercayaan ini.

Jika dilihat dari sudut sekuriti siber, data yang disimpan didalam blockchain amatlah sukar untuk diganggu atau mempunyai campur tangan pihak luar.

Justeru itu, dengan pengurangan risiko ini, ia dapat memastikan keselamatan, yang kemudiannya dapat mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan bagi kedua-dua pihak.

Selain itu, kita dapat menggunakan teknologi blockchain untuk mencipta kontrak pintar bagi melaksanakan pelbagai jenis aplikasi komersial dan undang-undang.

Dengan sifatnya yang tidak boleh diubah dan tidak boleh di putar balik, kontrak pintar ini diprogramkan untuk melaksanakan perjanjian komersil sedia ada yang dikodkan ke dalamnya dan bertindak balas kepada set parameter tertentu.

Melihat kepada sifatnya yang serba boleh, kita harus memanfaatkan penggunaan teknologi tanpa pengesahan ini untuk terus menerajui kemajuan rentas sempadan.

Saya percaya, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia merancang untuk memulakan kerjasama dengan rakan-rakan perniagaan antarabangsa, seperti memudahkan pengendalian perkhidmatan menandatangani perjanjian bersama rakan dagangan antarabangsa di dalam blockchain, dan dalam pada masa yang sama membolehkan setiap dokumen perniagaan sah dan diiktiraf oleh negara masing-masing.

Ini wajar dijadikan suatu keperluan bagi produk dan servis yang akan dilancarkan pada masa hadapan.

Teknologi blockchain akan terus berkembang dan mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik.

Saya sangat berbangga dan berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara melalui teknologi blockchain Zetrix, dan saya yakin bahawa penguasaan teknologi blockchain dalam memperkasakan sektor perdagangan akan membuka peluang yang lebih besar dengan penggunaan tempatan dan global serta mewujudkan revolusi teknologi sebenar, dan bukan hanya sekadar tokenomik spekulatif semata-mata.


Nota:
Pada Oktober 2022, MyEG telah memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) untuk bersama-sama membangunkan dan mengendalikan lapisan 1 blokchain awam negara, dengan teknologi blockchain Zetrix yang akan digunakan sebagai salah satu komponen Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI).

Di luar Malaysia, infrastruktur kriptografi Zetrix juga seharusnya diperkenalkan kepada pelbagai industri yang menghubungkan kerajaan, perniagaan serta rakyat kepada ekonomi berasaskan blockchain global.


* Wong Thean Soon (TS) merupakan Pengarah Urusan Kumpulan bagi penyedia perkhidmatan e-kerajaan MyEG dan pengasas bersama Zetrix, lapisan 1 blokchain awam yang memudahkan kontrak pintar dan menyediakan privasi, keselamatan dan kebolehskalaan.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.