Pembinaan kiub gergasi Mukaab di Riyadh dihentikan untuk penilaian semula

Mukaab, yang dirancang menempatkan menara kediaman, pusat beli-belah, pelancongan dan perniagaan dengan keluasan lantai sekitar dua juta meter persegi, turut direka dengan skrin dalaman gergasi menyerupai konsep The Sphere di Las Vegas. -Gambar Amanz
PEMBINAAN projek gergasi Mukaab di Riyadh, yang diumumkan pada 2023 sebagai struktur berbentuk kiub terbesar dunia dengan dimensi 400 meter pada setiap sisi, telah dihentikan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menjalani penilaian semula terhadap pembiayaan dan kebolehlaksanaannya.
Menurut laporan antarabangsa, keputusan itu dibuat selepas kerja pembinaan awal melibatkan penggalian tanah dan struktur asas selesai, sebelum kerajaan menangguhkan fasa seterusnya projek mega bernilai sekitar AS$50 bilion tersebut, yang sebelum ini menjadi komponen utama dalam pembangunan New Murabba.
Penggantungan Mukaab berlaku sehari selepas kerajaan turut mengurangkan skala projek megapolis NEOM, termasuk The Line yang kini dihadkan kepada fasa pertama The Hidden Marina, serta penangguhan beberapa komponen lain seperti Trojena dan Oxagon.
Mukaab, yang dirancang menempatkan menara kediaman, pusat beli-belah, pelancongan dan perniagaan dengan keluasan lantai sekitar dua juta meter persegi, turut direka dengan skrin dalaman gergasi menyerupai konsep The Sphere di Las Vegas, membolehkan visual maya menggantikan fungsi tingkap.
Walaupun pembinaan struktur Mukaab dihentikan, pembangunan lebih luas New Murabba seluas 19 kilometer persegi — termasuk universiti, muzium, hospital, ruang pejabat dan kawasan kediaman — diteruskan seperti dirancang. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


