Skip to main content

Teknologi

Perplexity tawar AS$34.5 bilion untuk ambil alih Google Chrome

61737940685_Perplexity.jpg
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha Perplexity mengambil kedudukan strategik sekiranya Google pada masa hadapan dipaksa melepaskan pemilikan pelayar web berkenaan susulan tindakan kawal selia. -Gambar fail
Advertisement

SAN FRANCISCO: Firma carian kecerdasan buatan (AI), Perplexity, mencuri perhatian industri teknologi apabila mengemukakan tawaran tidak diminta bernilai AS$34.5 bilion (kira-kira RM145 bilion) untuk memperoleh pelayar web Google Chrome, lapor Amanz.

Tawaran itu dikemukakan ketika Google terus berdepan tekanan antimonopoli di Amerika Syarikat dan kemungkinan pelupusan Chrome masih menjadi sebahagian daripada perdebatan berkaitan remedi kes berkenaan.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha Perplexity mengambil kedudukan strategik sekiranya Google pada masa hadapan dipaksa melepaskan pemilikan pelayar web berkenaan susulan tindakan kawal selia.

Setakat ini, Google masih belum mengumumkan sebarang hasrat untuk menjual Chrome dan belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tawaran berkenaan.

Penganalisis industri berpandangan nilai sebenar Chrome mungkin jauh melebihi tawaran yang dikemukakan memandangkan pelayar web itu memiliki berbilion pengguna di seluruh dunia dan merupakan antara pintu masuk utama kepada internet. Sesetengah anggaran meletakkan nilai Chrome melebihi AS$50 bilion.

Perkembangan itu berlaku ketika syarikat AI semakin memberi tumpuan kepada pelayar web sebagai platform strategik untuk menghubungkan pengguna dengan enjin carian baharu, model bahasa besar (LLM) dan pelbagai perkhidmatan berasaskan AI.

Pakar industri berpendapat penguasaan terhadap pelayar web utama boleh memberikan kelebihan besar dari segi capaian pengguna, trafik data dan peluang pengiklanan digital pada masa hadapan.

Bagaimanapun, sebahagian pemerhati melihat tawaran Perplexity sebagai langkah strategik untuk meletakkan syarikat itu sebagai calon pembeli sekiranya Chrome benar-benar dijual, selain meningkatkan profilnya dalam persaingan AI global.

Ini kerana nilai Perplexity sendiri dianggarkan sekitar AS$18 bilion (kira-kira RM76 bilion), lebih rendah daripada nilai tawaran yang dikemukakan.

Perplexity bagaimanapun mendakwa mempunyai sokongan pembiayaan daripada pelabur luar bagi merealisasikan urus niaga tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement