SEOUL: Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung, secara rasmi mengumumkan pelancaran pelayar web miliknya untuk pengguna komputer Windows yang kini dikenali sebagai Samsung Browser.
Pelayar web itu sebelum ini telah diuji dalam versi beta menggunakan jenama Samsung Internet sebelum dijenamakan semula sepenuhnya bagi pasaran desktop.
Advertisement
Samsung Browser membolehkan pengguna menyelaraskan data pelayaran antara peranti mudah alih Samsung dan komputer Windows secara masa nyata bagi memastikan kesinambungan tugasan yang lebih lancar.
Pelayar ini turut dilengkapi dengan integrasi Samsung Pass yang memudahkan penyimpanan serta pengurusan kata laluan bagi akses ke pelbagai laman web dan perkhidmatan dalam talian.
Menariknya, Samsung Browser turut mengintegrasikan sokongan kecerdasan buatan (AI) Perplexity yang membolehkan pengguna membuat pertanyaan lanjut mengenai kandungan laman web yang sedang dilayari atau melakukan carian maklumat am secara terus.
Buat masa ini, aplikasi berkenaan sudah boleh dimuat turun oleh pengguna Windows 10 dan Windows 11 di Korea Selatan serta Amerika Syarikat.
Samsung dalam satu kenyataan berkata, penawaran Samsung Browser akan diperluaskan ke pasaran global yang lain secara berperingkat tidak lama lagi.
Langkah ini dilihat sebagai strategi Samsung untuk memperkukuh ekosistem peranti Galaxy miliknya dengan menawarkan integrasi yang lebih mendalam antara telefon pintar dan komputer peribadi.