SIGGRAPH Asia 2026: Kuala Lumpur lakar sejarah, angkat falsafah 'Human-Centered' dan tema 'Weaving the Future'

Dr. Frank Guan (kiri) dan Taku Komura (kanan) pada majlis penutupan SIGGRAPH Asia 2025 serta pelancaran SIGGRAPH Asia 2026. — Foto SIGGRAPH Asia
HONG KONG: Kuala Lumpur bakal melakar sejarah industri digital negara apabila dipilih sebagai tuan rumah persidangan grafik komputer dan teknik interaktif paling berprestij dunia, SIGGRAPH Asia 2026.
Persidangan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 hingga 4 Disember 2026 itu dianggap sebagai satu 'milestone' atau mercu tanda baharu bagi rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Persidangan SIGGRAPH Asia 2026, Dr. Frank Guan berkata, pemilihan Kuala Lumpur adalah tepat pada masanya memandangkan rantau ini sudah beberapa tahun tidak menganjurkan acara seperti itu.
"Ini adalah kali pertama persidangan premium ini diadakan di Malaysia. Saya melihat ini sebagai satu pencapaian besar untuk mendekati komuniti baharu dengan meraikan kepelbagaian budaya dan perspektif orang tempatan," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Astro AWANI di SIGGRAPH Asia 2025, di Hong Kong, baru-baru ini.
'Weaving the Future': Inspirasi daripada seni Batik
Mengulas mengenai hala tuju edisi 2026, Dr. Frank mendedahkan tema rasmi persidangan tersebut ialah 'Weaving the Future' (Menenun Masa Hadapan).

Pengerusi Persidangan SIGGRAPH Asia 2026, Dr. Frank Guan, ketika mengulas mengenai tema SIGGRAPH Asia 2026 dalam satu temu bual eksklusif. — Foto Astro AWANI
Menariknya, tema ini diinspirasikan daripada seni warisan Malaysia iaitu Batik.
"Sama seperti batik yang terhasil daripada gabungan pelbagai corak, teknik dan sentuhan seni, persidangan ini juga bertujuan menghubungkan manusia daripada pelbagai latar belakang, disiplin, budaya, umur dan jantina.”
"Kami mahu membina hubungan yang mampan dan berpanjangan, bukan sahaja antara individu tetapi juga antara teknologi dan industri yang berbeza melalui kolaborasi rentas disiplin," jelas beliau yang juga Profesor Madya di Singapore Institute of Technology (SIT).
Falsafah 'Human-Centered': Teknologi demi manfaat manusia
Di sebalik kerancakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) Generatif, robotik dan realiti terimbuh (XR), Dr. Frank menegaskan bahawa SIGGRAPH Asia 2026 akan memberikan penekanan khusus kepada aspek 'Human-Centered' (Berpaksikan Manusia).

Menurut Dr. Frank, aspek ‘Human-Centered’ menjadi keutamaan SIGGRAPH Asia 2026.” — Foto Astro AWANI
Jelasnya, kemajuan teknologi tidak seharusnya dilihat dari sudut teknikal semata-mata, sebaliknya bagaimana ia mampu memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat.
"Apabila orang memikirkan tentang SIGGRAPH Asia di Kuala Lumpur kelak, saya mahu mereka merasai bahawa ia adalah sesuatu yang berpaksikan manusia.
"Kemajuan teknologi itu penting, tetapi ia mestilah memberi manfaat kepada orang ramai dan masyarakat. Kami mahu mewujudkan pengalaman yang terbuka, mesra dan menyeronokkan buat semua pengunjung," tambah beliau.
Memperkasa ekosistem digital MADANI
Penganjuran ini turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia melalui kerangka Malaysia MADANI yang kini giat mempromosikan industri media digital dan interaktif.
Menurut Dr. Frank, penglibatan kerajaan adalah kunci utama dalam memastikan persidangan ini meninggalkan impak ekonomi dan sosial yang besar kepada profesional tempatan serta pelajar.
"Kami membawa teknologi teraju dan penyelidik terkemuka dunia ke Kuala Lumpur. Dengan menghubungkan pakar antarabangsa ini dengan komuniti tempatan, ia secara langsung akan menyokong pembangunan jangka panjang komuniti kreatif dan produksi digital di Malaysia.
"Kejayaan persidangan ini nanti tidak hanya akan diukur pada jumlah kehadiran, tetapi pada nilai impak seperti penarikan bakat, peluang pemasaran produk tempatan ke peringkat dunia, serta jalinan kerjasama strategik yang terhasil," katanya lagi.
Selain bidang grafik tradisional, SIGGRAPH Asia 2026 juga akan membuka ruang lebih luas kepada bidang baharu seperti Embodied AI dan etika pengkomputeran, selain inisiatif khas untuk Sukarelawan Pelajar bagi memastikan penglibatan generasi muda yang lebih inklusif.
SIGGRAPH Asia merupakan acara tahunan yang menghimpunkan ribuan pakar teknikal dan kreatif dari seluruh dunia, merangkumi aspek penyelidikan saintifik, seni, animasi, permainan video, interaktiviti, pendidikan dan teknologi baru muncul.
Mengenai ACM SIGGRAPH
ACM Special Interest Group on Computer Graphics and Interactive Techniques ialah komuniti antara disiplin yang memfokuskan penyelidikan, teknologi dan aplikasi dalam grafik komputer dan teknik interaktif. Ahli-ahlinya terdiri daripada penyelidik, pembangun dan pengguna dari komuniti teknikal, akademik, perniagaan dan seni. ACM SIGGRAPH memperkayakan komuniti grafik komputer dan teknik interaktif sepanjang tahun melalui persidangan, rangkaian global bab profesional dan pelajar, penerbitan serta aktiviti pendidikan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.siggraph.org
Mengenai Koelnmesse
Koelnmesse Pte Ltd ialah salah satu syarikat penganjur pameran perdagangan terbesar di dunia. Lebih 80 pameran dan ekspo anjuran syarikat ini mempunyai liputan antarabangsa paling luas dalam industri, dengan 60 peratus pempamer dan 40 peratus pengunjung datang dari luar Jerman. Acara Koelnmesse merangkumi pameran perdagangan global utama bagi 25 sektor, termasuk Imm Cologne, Anuga, IDS, INTERMOT, Interzum Cologne, gamescom dan International Hardware Fair Cologne. Koelnmesse juga merupakan penganjur acara untuk ACM SIGGRAPH bagi 17 edisi SIGGRAPH Asia yang lalu. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.koelnmesse.asian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


