CALIFORNIA: Penerbit muzik terkemuka, termasuk Sony Music Publishing dan Warner Chappell Music, memfailkan saman yang berpotensi melibatkan tuntutan berbilion dolar terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, serta pengasas bersama syarikat itu, Dario Amodei dan Benjamin Mann.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Utara California itu mendakwa Anthropic menjalankan kempen agresif memuat turun, mencerap dan menggunakan karya muzik berhak cipta tanpa kebenaran bagi melatih model AI syarikat tersebut yang dikenali sebagai Claude.
Menurut dokumen tuntutan, kumpulan penerbit berkenaan mendakwa Anthropic memperoleh dan menggunakan beribu-ribu karya muzik yang dilindungi hak cipta sebagai data latihan untuk model AI mereka.
"Meskipun menjenamakan diri sebagai syarikat AI yang beretika, Anthropic berulang kali bertindak mengetepikan pematuhan undang-undang demi mengejar kelebihan daya saing pasaran," menurut tuntutan tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap Anthropic berkata syarikat itu tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan dan akan mempertahankan kedudukannya di mahkamah.
Tindakan undang-undang terbaharu itu difailkan selepas Anthropic memuktamadkan penyelesaian kes tindakan kelas Bartz v. Anthropic bernilai AS$1.5 bilion (kira-kira RM6.3 bilion) yang berkaitan pemerolehan data melalui platform cetak rompak.
Sony Music Publishing dan Warner Chappell Music turut mendakwa berlaku pelanggaran hak cipta menerusi aktiviti muat turun torrent secara haram yang membabitkan jutaan salinan buku digital mengandungi lirik serta skor muzik komersial.