Skip to main content

Teknologi

Suno, Anthropic berdepan saman hak cipta muzik bernilai lebih AS$1 bilion

51632292343_MUSIC.jpg
Menurut dokumen saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California, Round Hill Music mendakwa kedua-dua syarikat teknologi itu melanggar Akta Hak Cipta dengan mencerap data (scraping) daripada katalog muzik miliknya tanpa kebenaran bagi melatih model AI komersial. -Gambar hiasan
Advertisement

SAN FRANCISCO: Dua syarikat kecerdasan buatan (AI), Suno dan Anthropic, berdepan tindakan undang-undang berasingan yang difailkan syarikat penerbitan muzik bebas, Round Hill Music, dengan nilai ganti rugi statutorik yang berpotensi mencecah AS$1 bilion (kira-kira RM4.2 bilion) bagi setiap kes.

Menurut dokumen saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California, Round Hill Music mendakwa kedua-dua syarikat teknologi itu melanggar Akta Hak Cipta dengan mencerap data (scraping) daripada katalog muzik miliknya tanpa kebenaran bagi melatih model AI komersial.

Dokumen saman itu menyenaraikan kira-kira 500 karya yang dikenal pasti secara khusus, namun plaintif berkata aduan tersebut akan dipinda bagi merangkumi lebih 10,000 lagu.

Katalog hak cipta yang didakwa digunakan tanpa kebenaran itu merangkumi beberapa karya terkenal, termasuk Iris nyanyian Goo Goo Dolls, Total Eclipse of the Heart oleh Bonnie Tyler, dan Lola daripada kumpulan The Kinks.

Suno didakwa menggunakan karya terbabit tanpa lesen sah untuk melatih model AI generatif yang menghasilkan muzik, manakala Anthropic didakwa menggunakan lirik lagu tanpa pampasan bagi melatih model bahasa besar (LLM) miliknya, Claude.

Tindakan undang-undang terbaharu itu menambah tekanan terhadap kedua-dua syarikat berkenaan selepas mereka sebelum ini turut berdepan saman berkaitan pelanggaran hak cipta daripada pemain utama industri muzik seperti Universal Music Group (UMG), Sony Music Group, Concord dan BMG.

Suno sebelum ini dilaporkan menyelesaikan pertikaian undang-undang dengan Warner Music Group (WMG) serta memeterai perjanjian pelesenan dengan BMG. Bagaimanapun, saman yang difailkan UMG dan Sony Music terhadap syarikat itu masih berlangsung di mahkamah.

Selain itu, Suno dijadual melaksanakan had muat turun lagu mulai September ini bagi mengurangkan penyalahgunaan akaun palsu yang memanipulasi pembayaran royalti penstriman serta lambakan kandungan AI berkualiti rendah.

Peningkatan jumlah saman antara pemilik hak cipta dan syarikat AI di seluruh dunia kini mendorong lebih banyak syarikat teknologi memberi perhatian kepada sumber dan jejak data latihan (data lineage) yang digunakan, bagi memastikan data berkenaan diperoleh secara sah dan mengurangkan risiko tindakan undang-undang pada masa depan.

Must Watch Video

Advertisement