AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi peringatan terbuka kepada mana-mana pihak agar tidak tergesa-gesa memasang angan-angan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara ketika kerajaan semasa sedang giat memulihkan negara.
Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menegaskan, tumpuan pentadbiran ketika ini adalah menyempurnakan amanah rakyat dan bukannya melayani percaturan politik pihak yang cuba merampas kuasa di Putrajaya.
"Kalau hari ini ada pula yang sudah mula berkira-kira bila mahu mengambil tempat kita, berpesan kepada mereka: sabar dulu. Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya!
"Kerja kita belum selesai, perjuangan kita belum selesai dan kita belum selesai memimpin negara ini. Apa pun percaturan di luar sana kita hadap, apa pun ranjau yang dipasang kita redah, dan Putrajaya akan terus kita pertahankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai mandat pentadbiran negara, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan bahawa agenda reformasi memerlukan kestabilan dan masa yang mencukupi untuk memulihkan kerosakan sistemik yang telah berakar umbi sejak berdekad lalu.
Justeru, jelas beliau, tempoh satu penggal adalah terlalu singkat untuk memperbetulkan kepincangan struktur tersebut secara menyeluruh.
"Satu penggal tidak cukup untuk membetulkan segala kerosakan yang mengambil masa berpuluh tahun untuk terbentuk. Sebab itu reformasi tidak selesai hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tetapi mesti diteruskan dengan memastikan beliau kekal memimpin.
"Pilihan raya akan datang bukan sekadar soal PKR menang berapa kerusi, tetapi soal sama ada perjalanan perubahan yang kita mulakan ini diteruskan atau dihentikan," tegasnya.
Mengambil kira cabaran dan dinamik politik semasa, Fadhlina turut mengingatkan saf kepimpinan dan akar umbi agar tidak leka serta bergantung kepada perundingan meja semata-mata, sebaliknya memperkukuh jentera parti dari peringkat cawangan dan ranting.
Malah, beliau sempat mengungkapkan pantun kiasan mengenai sikap talam dua muka pihak tertentu:
"Terbang kunang di tengah malam, hinggap masuk di tiang seri; tangan kanan diajak bersalam, apa maksud pisau di tangan kiri?
"Laju berhadapan di mulutnya manis, dalam sembunyi menanam ranjau. Ranjau kita redah, Putrajaya kita pertahankan," ujarnya.