Skip to main content

Malaysia

Langgar lari polis: Inspektor akan didakwa atas cubaan membunuh

Anggota Trafik Langgar Threads @batrisyiardani_
Lelaki berusia 40 tahun itu dijangka didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Kredit Threads @batrisyiardani_

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari seorang anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, Jumaat lalu, akan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Khamis.

Lelaki berusia 40 tahun itu dijangka didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Advertisement

Selain itu, suspek turut berdepan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam kejadian berkenaan, Konstabel Roslan Salleh, 27, mengalami kecederaan di tangan, belakang kepala dan rusuk selepas dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan suspek ketika sedang mengawal lalu lintas.

Insiden itu turut mengakibatkan tujuh kenderaan mengalami kerosakan, membabitkan lima kereta awam, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis dan sebuah motosikal milik anggota berkenaan.

Suspek kemudian ditahan pada Isnin lalu di Jalan Empat, Chan Sow Lin hasil risikan dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) oleh anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur selepas mengesan kenderaannya di sekitar Jalan Cheras.

Siasatan lanjut mendapati suspek menghidap skizofrenia dan kini sedang menjalani cuti perubatan khas, selain dalam proses untuk dibersarakan atas syor lembaga perubatan.

Must Watch Video