KEPALA BATAS: Pembukaan cawangan terbaharu pusat pengajian al-Quran, al-Qari di sini, oleh personaliti ternama, usahawan dan dermawan, Datuk Rizalman Ibrahim bukan sekadar perluasan fizikal sebuah institusi pengajian al-Quran.
Ia sebetulnya adalah lanjutan sebuah misi dakwah yang tersusun, berpaksikan amanah agama dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang diberikan kelebihan untuk memberi.
Advertisement
Dalam wawancara bersama Astro AWANI di pusat pengajian berkenaan baru-baru ini, Rizalman menegaskan, usaha membuka cawangan baharu al-Qari bukan didorong oleh faktor komersial.
Sebaliknya, hasrat itu, tegas beliau, bertitik tolak pada pelaksanaan tuntutan agama yang menekankan ta‘lim, tadabbur dan tabligh — mengajar, memahami dan menyebarkan ilmu kalam Allah itu kepada masyarakat.
Seperkara yang sangat disyukur beliau semasa mengusahakan kelas pengajian al-Quran itu ialah perjalanan penubuhannya sejak dari awal lagi “dibimbing oleh Allah dengan begitu sempurna.”
Dari kemudahan yang diberikan, sokongan para asatizah, sehinggalah pembukaan fasiliti baharu di Bertam - semua itu dilihat sebagai peluang yang Allah amanahkan.
“Membuka rumah Allah adalah peluang yang Allah berikan. Jika kita dapat memberi ilmu secara percuma kepada penuntut, keberkahan itu lebih tinggi nilainya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, di al-Qari, ilmu tidak mengenal tingkatan sosial.
Semua kelas termasuk tajwid, makhraj, tadabbur dan pengajian lanjutan — ditawarkan secara percuma, tanpa bayaran tersembunyi.
Langkah ini, menurut Rizalman, adalah bentuk pemansuhan sekatan kewangan yang sering menghalang masyarakat daripada menuntut ilmu agama secara formal dan tersusun.
“Tiada niat bersaing”
Dalam landskap Malaysia yang semakin banyak menawarkan kelas pengajian al-Quran, pembukaan cawangan baharu al-Qari sering dilihat sebagai kemunculan pesaing baharu kepada penyedia sedia ada.
Namun, Rizalman menolak persepsi itu.
“Kehadiran al-Qari bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak. Kami tampil memberi secara percuma, dengan kemudahan premium, kerana ini amanah yang Allah perintahkan,” katanya.
Tegas Rizalman, matlamat kelas yang diasaskan di bawah payung Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) itu bukanlah bersandarkan keuntungan, tetapi keberhasilan ummah.
Salah satu prinsip operasi al-Qari ialah memastikan suasana pembelajaran yang sopan, selesa dan menarik.
Ini, menurut beliau, menepati kaedah dakwah Rasulullah SAW yang menampilkan kesempurnaan dari dalam dan luar.
“Ilmu itu harus dipamerkan dengan cara yang indah. Fasadnya mesti kemas dan sempurna supaya orang tertarik kepada apa yang tersirat,” ujarnya.
Pendekatan ini bukan sekadar estetika, tetapi strategi dakwah — menggunakan kesempurnaan luaran untuk membuka pintu kepada penghayatan dalaman.
Selepas lima tahun mengajar masyarakat dewasa membaca al-Quran dengan kaedah yang betul, termasuk penguasaan tajwid dan makhraj, al-Qari juga kini melangkah ke fasa yang lebih mendalam.
Kelas tadabbur al-Quran sudah dimulakan, memberi kefahaman terhadap makna ayat, konteks wahyu, serta adab menghayati dan mengamalkannya.
“Pahala membaca al-Quran ada bahagiannya. Tetapi memahami, mengamalkan dan menyebarkan - itu tingkatan yang lebih jauh,” jelasnya.
Iltizam dan inspirasi Rizalman juga ialah menyasarkan agar para pelajar mencapai tahap “sarjana kecil” dalam memahami kalam Allah — bukan sekadar membaca, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Menuju masa depan, Rizalman mengimpikan penubuhan pusat dakwah flagship di Hulu Yam, Selangor - sebuah institusi lengkap bagi melahirkan generasi baharu cendekiawan Islam.
Beliau mencontohkan tradisi ilmu di Mesir, Madinah dan Mekah yang mampu melahirkan tokoh-tokoh besar, lalu berharap Malaysia juga akan memiliki legasi tersendiri melalui Yayasan RI dan Dar Al-Qari.
“Satu hari nanti, di Malaysia, Yayasan RI dan Dar Al-Qari akan melahirkan cendekiawan Islam seperti di Mesir dan Madinah, Insya-Allah. Itu cita-cita besar kami,” kata Rizalman menyambung perbualan.
Bagi Rizalman, apa jua usaha dakwah mesti berakar pada amanah.
Tanpa amanah, katanya, tiada keberkatan dalam ilmu, institusi mahupun perjalanan hidup seseorang.
“Kita kena minta kepada Allah agar dilahirkan sifat amanah itu. Semua yang kita buat mesti berterusan, bukan bermusim.”
Pembukaan kelas pengajian al-Qari Bertam memperlihatkan bahawa dakwah tidak semestinya hadir dalam bentuk formal dan kaku.
Ia boleh dibina dengan estetika, strategi, kesempurnaan dan ihsan selagi asasnya ialah niat kerana Allah.
Dengan menawarkan semua pengajian secara percuma, disertai kemudahan premium dan tenaga asatizah yang bertauliah, Rizalman bukan sekadar membangunkan sebuah pusat pengajian al-Quran, tetapi mengembalikan fungsi institusi ilmu sebagai jantung masyarakat dan penyambung legasi Rasulullah SAW.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari, Jailani Jantan berkata, pembukaan cawangan baharu Dar Al-Qari di Bertam merupakan kesinambungan visi pengasas Yayasan RI, Datuk Rizalman Ibrahim untuk melahirkan generasi masyarakat yang benar-benar mencintai dan memahami al-Quran.
Menurutnya, cawangan baharu itu akan memberi tumpuan menyeluruh terhadap proses pembelajaran yang dijadualkan bermula seawal April ini, merangkumi pengajian asas sehingga ke peringkat tadabbur.
Jailani menjelaskan, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan apabila kira-kira 260 calon hadir ke sesi ujian saringan yang berlangsung hujung minggu lalu.
“Alhamdulillah, ini satu petanda yang sangat positif bagi masyarakat sekitar Butterworth. Ia menunjukkan minat mendalam mereka untuk menelaah dan memperbaiki pengajian al-Quran,” katanya.
Beliau berharap kewujudan al-Qari Bertam akan berkembang pesat seperti cawangan-cawangan lain di Johor dan Kuala Lumpur yang kini mencatatkan peningkatan pelajar secara konsisten.
Menurut Jailani, pusat pengajian al-Qari yang telah beroperasi lebih lima tahun kini berada di landasan yang tepat, apatah lagi melihat ketekunan dan komitmen pelajar-pelajarnya yang sentiasa istiqamah menimba ilmu.
“Sehingga kini, kami amat bersyukur melihat kesungguhan pelajar yang benar-benar mahu mendekatkan diri dengan al-Quran. Ia seiring dengan hasrat Datuk Rizalman untuk melihat hubungan mereka dengan al-Quran kekal sehingga ke akhir hayat, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kelas di Dar Al-Qari diadakan setiap Isnin hingga Jumaat melalui tiga sesi harian iaitu pada waktu pagi, petang dan malam dan semua pelajar akan dibimbing oleh tenaga pengajar terlatih.
Tempoh ideal bagi seseorang pelajar untuk menamatkan pengajian al-Quran dari peringkat asas hingga khatam, katanya, adalah sekitar tiga tahun, bergantung kepada disiplin dan komitmen pelajar itu sendiri.
Ditanya mengenai perancangan masa depan Yayasan RI dan Dar Al-Qari, Jailani berkata, usaha memperluaskan kelas pengajian al-Quran ke seluruh negara memang berada dalam perancangan jangka panjang pihaknya.
“Itulah harapan kami — agar Dar Al-Qari dapat dibuka di setiap negeri di Malaysia. Semoga Allah membuka jalan yang seluas-luasnya untuk kami merealisasikan cita-cita tersebut,” katanya.