Skip to main content

Malaysia

'Budaya kami hilang, suara tidak didengar' - Orang Asli Pulau Carey bimbang pembangunan jejas sumber pendapatan, budaya

MAH MERI PULAU CAREY
Lanuza (tengah) berkata pihak berkaitan seolah-olah membelakangkan suara penduduk asal dalam membuat keputusan penting melibatkan kawasan penempatan dan sumber rezeki mereka. -Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PELABUHAN KLANG:

“Kami seolah-olah tidak wujud di Pulau Carey.”

Demikian luahan penuh kecewa komuniti Orang Asli di Pulau Carey yang mendakwa dipinggirkan apabila tidak dimaklumkan mengenai projek peluasan Westports 2, pembangunan besar yang disifatkan bakal mengubah kehidupan mereka buat selamanya.

Pengerusi Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, Lanuza A/L Layon berkata pihak berkaitan, termasuk Kerajaan Selangor dan syarikat pemaju, seolah-olah membelakangkan suara penduduk asal dalam membuat keputusan penting melibatkan kawasan penempatan dan sumber rezeki mereka.

“Saya terfikir, bila masanya pihak-pihak ini pernah datang berjumpa kami. Setiap persetujuan sekurang-kurangnya perlu dimaklumkan. Kami tidak pernah melarang projek kerajaan kerana kami faham ia untuk ekonomi negara dan negeri. Selangor negeri industri, kami sedar itu.

“Tetapi sekurang-kurangnya beritahulah bahawa kawasan kami terlibat dengan projek Westports 2. Apa salahnya memaklumkan lebih awal supaya kami tahu apa yang bakal berlaku? Sebagai pengerusi, saya boleh menjelaskan kepada penduduk dan kami boleh berbincang. Ini tidak, tiba-tiba kami dapat tahu projek sudah diluluskan. Kami macam tidak wujud, seperti tiada Orang Asli di pulau ini. Kami benar-benar kecewa,” katanya.

Lanuza berkata, sebagai pengerusi kampung, beliau sendiri sukar memberikan penjelasan kepada penduduk kerana tidak menerima maklumat yang sepatutnya mengenai masa depan kawasan mereka, sekali gus membuatkan beliau berasa seolah-olah “dibutakan” daripada proses membuat keputusan.

Sementara itu, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Maznah Anak Unyan berkata Pulau Carey bukan sekadar tanah kediaman, tetapi merupakan gedung khazanah seni kraf dan adat resam masyarakat Mah Meri. Kehilangan akses kepada sumber alam bermakna hilangnya identiti dan warisan unik suku kaum itu.

Beliau berkata sekiranya pembangunan terus menjejaskan alam sekitar, masyarakat Mah Meri tidak lagi dapat menghasilkan ukiran atau anyaman, termasuk menggunakan daun nipah yang menjadi sumber utama karya mereka.

“Masa depan kami… hasil-hasil kraf kami semua terjejas. Daun nipah pun sudah hilang. Di mana kami nak pergi? Tanah di sini adalah tanah kami. Kami dilahirkan di sini, dibesarkan di sini. Ayah saya, datuk saya semuanya di sini.

“Kalau ini semua rosak, macam mana kami mahu berkarya? Kalau pembangunan terlalu pesat di Pulau Carey, hilanglah budaya kami. Pihak berkaitan tidak memikirkan hala tuju kami… saya sangat sedih,” katanya.

Dalam pada itu, Lanuza merayu agar kerajaan dan pengurusan Westports memberikan jaminan bukan sekadar pampasan material, tetapi juga perlindungan terhadap kawasan sensitif kebudayaan bagi memastikan suku Mah Meri tidak sekadar tinggal sebagai catatan dalam sejarah pembangunan negara.

Advertisement

Must Watch Video