DALAM dua bulan lepas,saya berjumpa orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan berbual-bual mengenai usaha mereka 'menawan' Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Azmin dengan nada yakin memberitahu usaha dan strategi untuk memiliki negeri di bawah bayu itu sudah di peringkat akhir selain sokongan rakyat yang katanya sudah beralih kepada pakatan rakyat.

Saya membawa kata-kata Azmin ke Sabah.Mahu melihat sendiri perkembangan 'projeknya' itu.

Saya terkejut kerana secara umumnya perang poster di beberapa bandar Sabah dimenangi pembangkang.Bendera PKR jelas dan nyata memang lebih banyak daripada Barisan Nasional (BN).

Dimaklumkan seorang sahabat di sini,usaha pembangkang dan PKR terutamanya untuk menarik hati penduduk di Sabah sudah dimulakan sejak 2010.

''Memang mereka (PKR) buat banyak program bersama rakyat dalam dua tahun kebelakangan ini.

''Masyarakat juga nampak mula kenal PKR tapi tidak tahu pula apa pendirian rakyat di sini kepada PKR.Lagipun mereka sangat baru di Sabah,'' ujarnya.

Kehadiran Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Kinabalu, Tenom, Kimanis, Keningau dan beberapa lagi lokasi di Sabah pada hari keempat dan kelima kempen PRU disambut lautan biru masyarakat di sana.

Saya menganggarkan tidak kurang 10 ribu rakyat berada di setiap lokasi dan laungan 'Tatap BN' (Tetap BN) bergema di sana-sini.

Najib mempamer raut wajah yakin dalam setiap ucapannya di Sabah. Tidak terbayang kegusaran langsung kepada negeri yang mempunyai 14 Parlimen,42 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 984,034 pengundi ini.

Umumnya setiap ucapan Najib di Sabah menekankan isu keselamatan di Lahad Datu,usaha meneruskan kemajuan negeri,keseimbangan kekayaan dengan penduduk Semenanjung dan kestabilan yang dibawa BN sejak sekian lama.

Paling menarik intonasi tersendiri Najib yang menawar BR1M 1,BR1M 2,BR1M 3 dan BR1M 4 kepada rakyat.

Siapa yang biasa mendengar ucapan Najib pasti tahu lenggok suara seolah-olah berpuisi apabila menyebut perkara ini.

Cuma sedikit disentuh Perdana Menteri mengenai pembangkang di dalam ucapan. Jika lebih sedikit ulasan pun apabila menjawab soalan wartawan di dalam sidang media - selain itu tiada.

Paling penting keyakinan Najib di setiap ucapannya yang tidak 'goyang' kepada pengundi Sabah untuk terus meletakkan negeri ini sebagai simpanan tetap BN.

Di Keningau sempat saya berkenalan dengan beberapa gadis yang memakai 'vest' merah jambu Pergerakan Puteri UMNO. Saya mengambil keputusan untuk menegur selepas melihat mereka berkumpul di hadapan telefon pintar dan berlatih senaman ringkas yang hanya menggunakan tangan dan mimik muka manja.

Rupa-rupanya mereka sedang melihat aksi 'Gwiyomi' - sebuah lagu Korea yang menjadi ikutan gadis-gadis comel seluruh negara - yang terbaru ia turut dirakam pelakon Nora Danish di 'Youtube'.

''Kenapa abang macam pelik sangat tengok kami.Kalau kami berkempen macam gwiyomi Nora Danish di sini rasanya dapat tingkatkan majoriti kemenangan calon tak?''

Saya cuma senyum dan mengangguk.

Saya tahu Najib pun ada 'Gwiyomi' yang tersendiri untuk terus jadikan Sabah aset tetap BN.